PETALING JAYA: Hanya satu saat memisahkan atlet judo negara, Amir Daniel Abdul Majeed daripada mencipta sensasi terbesar Malaysia di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, semalam.
Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2026 itu, hampir menewaskan bekas naib juara dunia dari Jepun, Sotaro Fujiwara dalam aksi pusingan 16 terbaik kategori bawah 81 kilogram (kg).
Dalam aksi pertarungan di Arena Antarabangsa Aichi itu, Amir berada di ambang kemenangan selepas berjaya mengunci Fujiwara selama 19 saat (s), hanya satu saat kurang daripada tempoh 20s yang diperlukan untuk memperoleh kemenangan penuh menerusi ippon.
Bagaimanapun, atlet judo Jepun tersebut berjaya melepaskan diri sebelum bangkit melakukan balingan yang menghadiahkannya ippon untuk menamatkan cabaran wakil negara.
Kekalahan itu nyata memberi kekecewaan kepada Amir, namun atlet berusia 21 tahun itu menyifatkan pengalaman berdepan lawan bertaraf dunia sebagai pengajaran berharga dalam usahanya memburu tiket ke Sukan Olimpik.
“Saya hanya perlukan satu saat lagi untuk menang keseluruhan perlawanan. Saya berjaya menguncinya selama 19 saat dan untuk menang penuh saya perlu bertahan 20 saat.
“Selepas itu, pertukaran strategi saya tidak begitu tepat dan itu kesilapan saya. Saya perlu belajar daripada pengalaman mahal ini dan membawanya ke dalam impian Olimpik saya,” katanya selepas perlawanan kepada media.
Amir turut mengakui berdepan tekanan besar kerana bukan sahaja membuat penampilan sulung di Sukan Asia, malah terpaksa beraksi menentang atlet tuan rumah yang memiliki reputasi hebat di pentas antarabangsa.
“Memang sangat gementar kerana ini penampilan pertama dan lawan saya pula bekas naib juara dunia serta pemenang pingat dalam Jelajah Dunia.
“Tetapi dalam judo apa sahaja boleh berlaku dan saya hanya cuba memberikan yang terbaik,” ujarnya.
Penuntut tahun akhir Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, pengalaman beraksi di Aichi-Nagoya memberinya gambaran jelas mengenai tahap sebenar persaingan yang perlu ditempuhi untuk bersaing di pentas tertinggi dunia. – UTUSAN











