ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan tugas sukar untuk menjinakkan pendatang baharu Port FC 3-0 dalam aksi Zon Timur Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.
Kemenangan itu membolehkan JDT mengutip tujuh mata daripada tiga perlawanan sekali gus menghuni tempat kedua, dua mata di belakang pendahulu Liga, kelab Jepun Vissel Kobe.
Bermain di hadapan 19,174 penonton, JDT mempamer aksi bertenaga seawal minit pertama memberi tekanan kepada pasukan pelawat daripada Thailand.
Bagaimanapun, percubaan demi percubaan yang dilakukan skuad kendalian Xisco Munoz pada separuh masa pertama itu gagal mencipta sebarang jaringan.
Peluang terbaik JDT dihasilkan oleh kapten, Arif Aiman Hanafi namun percubaan tepat ke pintu gol Port FC itu gagal menewaskan penjaga gol, Michael Falkesgaard yang berjaya menepis tendangan itu pada minit ke-41.
Bersambung babak kedua, JDT meningkatkan tempo permainan dan berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-53 hasil jaringan pemain pertahanan Jonathan Silva, menerusi larian Arif Aiman di sayap kanan dan melakukan sepakan lambung ke dalam kotak penalti, sebelum Jonathan melepaskan sepakan voli rendah ke penjuru gol bagi menjaringkan gol pertama.
Arif Aiman hampir meletakkan namanya dalam senarai penjaring tiga minit kemudian namun bola yang dirembatnya sekadar menggegar jaring sisi gol lawan.
Bergson Da Silva yang dibawa masuk pada minit ke-57 menggantikan Shahab Zahedi berjaya menambah jaringan buat Harimau Selatan setelah bola tandukannya melintasi gol Port FC pada minit ke-62.
Bagaimanapun, Bergson dilayangkan kad kuning setelah menanggalkan jersi bagi meraikan jaringan tersebut sebelum turut mengalami kecederaan. Dia kemudiannya dibawa keluar selepas berada atas padang tidak sampai 10 minit dan digantikan dengan Stoichkov.
Anak buah Bozidar Bandovic merapatkan jurang pada minit ke-70 namun jaringan Jude Soonsup-Bell dari sudut sukar dibatalkan pengadil perlawanan Alireza Faghani setelah semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati pemain itu berada di posisi ofsaid.
Pada lima minit terakhir permainan, JDT menambah derita buat pasukan pelawat menerusi serangan balas pantas berpunca larian lincah Marcos Guilherme yang disudahkan Stoichkov untuk meledak gol ketiga pada minit ke-86.
JDT akan berdepan Jeonbuk Hyundai Motors pada perlawanan keempat di Jeonju World Cup Stadium, Korea Selatan pada 3 November depan.-UTUSAN











