PETALING JAYA: Malaysia mempunyai dua wakil dalam acara beregu campuran selepas Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai turut mara ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton China Masters di Guangdong, China, hari ini.
Pasangan No. 11 dunia itu menewaskan wakil tuan rumah, Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying 21-15, 21-11 dalam masa 35 minit di suku akhir.
Pada separuh akhir, esok, Soon Huat-Shevon perlu berdepan halangan paling besar iaitu menentang beregu tuan rumah yang menghuni ranking No. 1 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.
Dengan rekod pertemuan 0-5, pasangan suami isteri itu yang belum pernah mencipta kemenangan ke atas Yan Zhe-Dong Ping perlu menyusun strategi terbaik untuk menyingkirkan beregu handalan China tersebut.
Shevon berkata, dia sama sekali tidak menjangka akan sampai sejauh ini kerana melihat kepada undian, laluan mereka agak sukar.
“Kami gagal mengekalkan prestasi kami ke tahap sepatutnya sejak tahun lepas lagi dan kami telah bergelut dengan prestasi untuk tempoh yang agak lama.
“Saya rasa, hari ini, kami benar-benar berjaya mengumpul semula keyakinan dan momentum itu. Kami telah melakukannya dengan sangat baik dan harap dapat kekal untuk tempoh yang lebih lama,” katanya kepada wakil BWF selepas perlawanan berakhir.
Kali terakhir Soon Huat-Shevon mara ke separuh akhir ialah pada Terbuka India, tahun lalu dan sejak itu, pasangan suami isteri itu gagal mengekalkan prestasi konsisten.
Ketika ditanya tentang kejayaan mara ke separuh akhir selepas lebih setahun gagal berbuat demikian, Shevon memberitahu, kadangkala nasib mereka kurang baik apabila terpaksa berdepan lawan yang belum pernah dikalahkan.
“Semua ini bergantung kepada undian juga, jika kami bertemu lagi dengan lawan yang
memberikan cabaran besar, kami perlu mengatasi perkara itu dan bukan
hanya bergantung kepada undian untuk bermain baik.
“Saya rasa biarlah kami fokus pada bahagian kami dahulu. Ya, ada beberapa lawan yang belum kami atasi lagi seperti beregu China dan kami perlu berusaha lebih lagi,” katanya.
Selain Soon Huat-Shevon, satu lagi gandingan negara yang telahpun mengesahkan tempat ke separuh lebih awal ialah Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing. – UTUSAN










