Penyudah tumpul, keletihan hampakan TFC

Penyudah tumpul, keletihan hampakan TFC

PEMAIN Import Star City, Moses Atede diasak pertahanan Terengganu FC, Azam Azmi Murad dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, kelmarin- IHSAN TFC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketumpulan jentera serangan dan faktor keletihan menyebabkan Terengganu FC (TFC) terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang Star City FC (SCFC) dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, kelmarin.

Pengendali TFC, Nafuzi Zain mengakui anak buahnya beraksi baik serta mencipta beberapa peluang, namun kegagalan penyudah menyaksikan hasrat membawa pulang tiga mata tidak kesampaian.

“Kami kecewa kerana sasaran utama kami di Kangar ini adalah untuk mendapatkan tiga mata, namun terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1.

“Dari segi permainan kami, saya lihat mereka beraksi dengan baik dan memiliki banyak peluang tetapi gagal disudahkan.

“Namun saya tetap bersyukur kerana berjaya mengutip satu mata. Selepas ketinggalan satu gol, kami tetap berusaha untuk bangkit bagi menyamakan kedudukan,” kata Nafuzi.

Menurutnya, TFC kini perlu segera mengalihkan fokus kepada saingan Piala FA apabila bakal menentang DPMM FC di laman sendiri pada 16 September ini.

“Kami ada masa empat hari sebelum bertemu DPMM FC dalam saingan Piala FA di laman sendiri pada 16 September ini,” ujarnya.

Sementara itu, pengendali SCFC, Mehmet Durakovic menyifatkan pasukannya lebih layak meraih tiga mata selepas mencipta banyak peluang sepanjang perlawanan.

“Kita bermain dengan baik dan sepatutnya menang perlawanan ini selepas mencipta banyak peluang tetapi inilah bola sepak,” katanya.

Durakovic turut mengesahkan beberapa tonggak SCFC mengalami kecederaan, termasuk Rizal Ghazali dan Pedro Santos, yang kini perlu dipantau menjelang aksi seterusnya.

“Rizal (Ghazali), Pedro (Santos) mengalami kecederaan yang serius dan beberapa pemain lain turut mengalami kecederaan. Kita akan pantau proses pemulihan mereka dan bersedia untuk aksi seterusnya,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×