Malucelli takluk peringkat 1 LTdL26

Malucelli takluk peringkat 1 LTdL26

Pelumba XDS Astana Team, Matteo Malucelli (tiga dari kiri) memecut ke garisan penamat peringkat 1 laluan Shah Alam-Kampar dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi 2026 di Kampung Masjid Kampar, Perak, semalam. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Pelumba XDS Astana Team, Matteo Malucelli membuka tirai Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) dengan penuh bergaya apabila muncul juara peringkat 1 dari Shah Alam ke Kampar, semalam.

Pelumba Itali berusia 32 tahun itu melakukan catatan masa 4 jam 6 minit 53 saat (4:06:53s) dalam perlumbaan sejauh 193 kilometer (km) yang berakhir menerusi penamat pecut beramai-ramai.

Riley Pickrell dari Modern Adventure Pro Cycling dan Fernando Gaviria (Caja Rural-Seguros RGA) yang masing-masing mencatat masa sama untuk menduduki tempat kedua dan ketiga.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kemenangan itu turut membolehkan Malucelli menyarung jersi jingga selaku pendahulu klasifikasi keseluruhan (GC), selain menguasai jersi biru Raja Pecut selepas mengumpul 15 mata manakala Pickrell mengumpul 12 mata manakala Gaviria dengan sembilan mata.

Lebih menarik, kemenangan tersebut hadir kurang 24 jam selepas Malucelli terbabit dalam kemalangan ketika menjalani latihan, kelmarin.

Dia dilaporkan tergelincir di sebuah selekoh sebelum terhentak kuat pada tangannya dan menjalani pemeriksaan sinar-X bagi memastikan tiada kecederaan serius.

Malucelli berkata, kemenangan pada peringkat pembukaan itu menjadi petanda positif selepas insiden tersebut.

“Saya tidak tahu sama ada saya menang. Saya rasa iya, tetapi saya mahu melihat foto penamat kerana tahun lalu juga kami mendapat kejutan.

“Semalam saya terbabit kemalangan, jadi jika saya menang peringkat pertama, ia satu tindak balas yang baik daripada badan saya,” katanya selepas perlumbaan.

Kejayaan itu turut meneruskan momentum positif Malucelli selepas meraih kemenangan di Tour of Taihu Lake, China, 11 hari lalu, sekali gus menjadi kemenangan ke-23 sepanjang kariernya.

“Pasukan melakukan kerja yang sangat baik sejak awal. Kami mengawal perlumbaan dan Gleb melakukan lead-out yang hebat, begitu juga Aaron (Gate) dan Gonov.

“Apabila terdapat banyak selekoh, ia memang sentiasa sukar, tetapi saya melakukan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, Pet Rikunov dari China Development Team menguasai klasifikasi Raja Bukit dengan empat mata, diikuti pelumba Terengganu Cycling Team, Kee Zhe Yie (dua mata) dan Muhammad Syawal Mazlin (Malaysia Pro Cycling) dengan satu mata.

Dalam klasifikasi pelumba Asia, Muhammad Nur Aiman Rosli dari Terengganu Cycling Team muncul pelumba terbaik Asia selepas merekodkan masa 4:06:53s, diikuti Oda Hijiri dari ART dan Muhammad Izzat Hilmi Abdul Halil (Malaysia Pro Cycling).

Peringkat 2 LTdL26 hari ini menyaksikan peloton berentap dalam laluan sejauh 145.6km dari Taiping ke puncak Gunung Jerai yang dijangka menjadi ujian utama buat pelumba pendaki. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×