LONDON: Mercedes mungkin masih menguasai persaingan Formula 1 (F1) 2026, namun juara pendahulu Kimi Antonelli mengakui pasukannya kini tidak lagi memiliki jentera terpantas selepas kebangkitan McLaren dan Ferrari.
Mercedes ketika ini memimpin kedudukan pengeluar, manakala Antonelli dan rakan sepasukan, George Russell menduduki dua tangga teratas klasifikasi pelumba selepas memenangi lapan daripada 10 perlumbaan pembukaan musim.
Bagaimanapun, momentum itu mula terganggu apabila McLaren bangkit menerusi Lando Norris yang memenangi dua perlumbaan terakhir di Hungary dan Belanda, selain Ferrari turut menghidupkan semula cabaran selepas membawa pakej naik taraf besar.
Antonelli yang menamatkan Grand Prix Belanda di tempat kedua mengakui Mercedes kini terpaksa berdepan realiti apabila kelebihan kelajuan mereka mula dipintas pencabar utama.
“Kami jelas bukan lagi jentera terpantas di grid, kami mungkin berada di tempat kedua atau ketiga dan McLaren pula membuat lonjakan besar terutama sejak Hungary selepas membawa pakej naik taraf besar,” katanya.
Kebangkitan pencabar itu turut memberi tekanan kepada Mercedes apabila Ferrari kini menghuni tempat kedua kedudukan pengeluar, 87 mata di belakang pasukan yang berpangkalan di Brackley berkenaan.
Prinsipal Mercedes, Toto Wolff mengakui pasukannya tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk menyaingi kelajuan pembangunan McLaren dan Ferrari yang mampu memperkenalkan naik taraf besar dalam tempoh pertengahan musim.
“Kami tidak mempunyai wang untuk membawa pembangunan baharu pada jentera dan kami cuba membahagikannya secara sama rata sepanjang musim berdasarkan pengiraan bila kami boleh membawa naik taraf terbesar serta mengoptimumkan kutipan mata kejuaraan,” katanya.
Keadaan itu menjadikan Mercedes kini perlu bergantung kepada kelebihan yang sudah dibina sejak awal musim ketika Antonelli dan Russell memenangi enam daripada enam perlumbaan pertama sebelum saingan sengit kembali mengancam penguasaan mereka. – AGENSI/UTUSAN











