DALLAS: Penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo masih belum bersedia mengucapkan selamat tinggal kepada skuad kebangsaan apabila membuka ruang untuk terus beraksi sehingga Euro 2028.
Penyerang berusia 41 tahun itu mengesahkan Piala Dunia 2026 menjadi penampilan terakhirnya di pentas bola sepak paling berprestij.
Penyerang Al-Nassr itu berkata, dia enggan membuat keputusan tergesa-gesa mengenai masa depannya bersama Portugal selepas kempen Piala Dunia berakhir dengan kekalahan 0-1 kepada Sepanyol pada pusingan 16 terbaik, sekali gus menutup impiannya untuk menjulang trofi yang masih belum pernah dimenanginya.
Ronaldo mengakui kecewa dengan penyingkiran itu, namun menegaskan dia meninggalkan kejohanan tersebut dengan hati yang tenang kerana sudah memberikan segala-galanya buat negara.
“Ini adalah Piala Dunia terakhir saya, ya. Tetapi sekarang saya akan mengambil masa untuk berfikir bersama keluarga dan tidak mahu membuat keputusan ketika emosi masih menguasai diri,” katanya.
Kenyataan itu mencetuskan spekulasi bahawa bekas bintang Sporting Lisbon, Manchester United, Real Madrid dan Juventus tersebut masih berhasrat meneruskan karier antarabangsa sehingga Kejohanan Eropah 2028 jika tahap kecergasannya terus mengizinkan.
Ronaldo turut menegaskan kejayaan terbesar bersama Portugal tetap hadir menerusi kemenangan Euro 2016, selain menganggap pencapaian tersebut mempunyai nilai yang sama besarnya dengan memenangi Piala Dunia.
“Saya telah memenangi tiga trofi bersama Portugal. Sebelum saya, Portugal belum pernah memenangi sebarang gelaran dan saya bangga menjadi sebahagian daripada sejarah itu,” katanya.
Kapten Portugal itu kini masih bersama Al Nassr sehingga Jun tahun depan, selain terus memegang rekod sebagai penjaring terbanyak dan pemain paling banyak membuat penampilan di pentas antarabangsa.
Walaupun menghampiri penghujung karier gemilangnya, Ronaldo masih mempunyai misi peribadi untuk menjadi pemain pertama dalam sejarah mencapai 1,000 gol dalam karier profesional, dengan hanya berbaki 24 jaringan lagi bagi melengkapkan pencapaian luar biasa itu. – AGENSI/UTUSAN










