PETALING JAYA: Kapten skuad hoki negara, Muhammad Marhan Mohd Jalil tetap optimis Speedy Tigers mampu memberi saingan sengit dalam kempen Piala Dunia meskipun diundi bersama pasukan gergasi dunia iaitu Jerman, Belgium dan Perancis.
Menurut pemain berusia 36 tahun itu, status Malaysia sebagai pasukan bukan pilihan tidak boleh dijadikan alasan untuk berasa gentar, sebaliknya menjadi pembakar semangat buat seluruh pasukan membuktikan kemampuan sebenar di pentas tertinggi.
“Semua orang tahu kita bukan pasukan pilihan. Jurulatih telah memberikan banyak maklumat tentang pasukan lawan. Apa yang perlu kami laksanakan adalah memberi yang terbaik di padang.
“Jika kami dapat mencuri mata daripada pasukan besar ini, ia akan memberi impak positif. Saya yakin kita boleh bersaing, terutamanya dengan Perancis,” katanya.
Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B akan memulakan cabaran mereka menentang Jerman pada 15 Ogos sebelum bertemu pasukan No.1 dunia, Belgium dua hari kemudian dan Perancis (19 Ogos) dengan kesemua perlawanan diadakan di Arena Hoki Belfius.
Dalam pada itu, Marhan berkata, setiap pemain perlu menyedari bahawa peluang beraksi di Piala Dunia merupakan penghormatan terbesar dalam karier seseorang atlet dan peluang itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
“Azam saya sangat mudah, iaitu untuk mengharumkan nama negara. Dalam masa yang sama, saya mahu memberi motivasi kepada rakan sepasukan supaya sentiasa bersedia dan memberikan komitmen yang tinggi. Piala Dunia adalah satu penghormatan tertinggi bagi setiap pemain,” katanya.
Sebagai rekod, Marhan merupakan pemain paling banyak beraksi bersama skuad kebangsaan dengan 356 penampilan di pentas antarabangsa sejak 3 September 2011. – UTUSAN










