MIAMI: Perancis dan England berpeluang menutup kempen Piala Dunia 2026 dengan kemenangan apabila kedua-dua pasukan itu membuat penampilan dalam aksi penentuan tempat ketiga di Stadium Hard Rock, esok.
Kedua-dua gergasi Eropah itu masih dibayangi kekecewaan selepas impian beraksi di pentas final musnah apabila tewas pada aksi separuh akhir.
Perancis, yang sebelum ini dianggap antara pasukan paling menyerlah sepanjang kejohanan, tunduk 0-2 kepada Sepanyol, manakala England mensia-siakan kelebihan sebelum tewas 1-2 kepada juara bertahan, Argentina.
Pengendali England, Thomas Tuchel mengakui tiada pemain yang benar-benar mahu beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga kerana sasaran utama semua pasukan adalah mara ke final.
“Tiada seorang pun pemain kami atau pemain Perancis mahu bermain dalam perlawanan ini. Mereka mahu berada di final.
“Kami sudah memberikan segala-galanya untuk mencapainya. Semua pasukan datang ke sini dengan impian memenangi Piala Dunia, namun kami perlu menerimanya dan mengharungi perlawanan ini secara profesional,” katanya.
Perlawanan itu turut menjadi aksi terakhir Didier Deschamps selaku ketua jurulatih Perancis selepas mengesahkan akan meninggalkan Les Bleus sebaik kempen Piala Dunia berakhir.
Sepanjang 14 tahun membimbing Perancis, Deschamps menghadiahkan gelaran juara dunia pada 2018, muncul naib juara pada 2022 dan sekali lagi membawa pasukan mara ke separuh akhir pada edisi kali ini.
“Masih ada tempat ketiga untuk direbut dan kami akan melakukan yang terbaik untuk memenanginya.
“Kami tidak berada di kedudukan yang kami harapkan, namun kami perlu menerima hakikat ini kerana tiada pilihan lain,” kata Deschamps.
Selain perebutan tempat ketiga, tumpuan turut terarah kepada persaingan memburu Kasut Emas kejohanan.
Kapten Perancis, Kylian Mbappe kini berkongsi kedudukan penjaring terbanyak bersama kapten Argentina, Lionel Messi dengan lapan gol manakala Harry Kane dan Jude Bellingham dari England masing-masing mengumpul enam jaringan.
Mbappe juga berpeluang mencipta sejarah apabila hanya memerlukan dua gol untuk mengatasi rekod Messi sebagai penjaring terbanyak sepanjang sejarah Piala Dunia.
Dalam pada itu, Tuchel dijangka melakukan rombakan terhadap kesebelasan utamanya selepas jadual padat yang diharungi England sepanjang kejohanan.
Pemain tengah muda Manchester United, Kobbie Mainoo berkemungkinan membuat penampilan sulung di pentas Piala Dunia, manakala Ollie Watkins dijangka diberi peluang mengetuai jentera serangan menggantikan Kane.
Deschamps pula dijangka memberikan minit permainan kepada pemain tengah berpengalaman, N’Golo Kante yang masih belum beraksi sepanjang kempen Piala Dunia di Amerika Syarikat. – AFP










