Peralatan jadi ‘lawan’ pertama Chun Chen

Peralatan jadi ‘lawan’ pertama Chun Chen

Ng Chun Chen melakukan rutin penyesuaian di Arena Antarabangsa Glasgow, semalam. - IHSAN MSN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebelum memikirkan peluang memburu pingat, gimnastik artistik negara, Ng Chun Chen mengakui cabaran paling besar yang perlu ditundukkan terlebih dahulu ialah menyesuaikan diri dengan peralatan pertandingan yang berbeza daripada kebiasaan.

Atlet berusia 24 tahun itu berkata, tempoh latihan rasmi yang singkat di Arena Antarabangsa Glasgow menyebabkan setiap atlet perlu segera membiasakan diri dengan suasana dan peralatan bagi mengelakkan kesilapan ketika saingan sebenar bermula.

Walaupun memiliki rutin lompatan dengan tahap kesukaran tinggi yang mampu memberi kelebihan berbanding pencabar lain, Chun Chen berkata, ia hanya akan memberi makna sekiranya dipersembahkan dengan kemas dan konsisten.

“Dari segi tahap kesukaran, saya rasa tidak ramai gimnas di sini melakukan lompatan seperti saya. Itu mungkin memberi satu peluang tetapi saya tetap perlu melakukan yang terbaik.

“Kalau tahap kesukaran tinggi tetapi pelaksanaannya tidak baik, hasilnya tetap sama. Jadi, saya perlu kekal konsisten,” katanya.

Pada masa sama, Chun Chen mengakui persiapannya sedikit terjejas apabila keadaan fizikalnya tidak berada pada tahap terbaik selain mempunyai tempoh penyesuaian yang lebih singkat selepas tiba di Glasgow lewat daripada kebiasaan.

“Buat masa ini, semuanya masih boleh dikawal dan saya masih mampu menyesuaikan diri dengan peralatan serta keadaan tempat pertandingan.

“Apabila tiba hari pertandingan, kami perlu memberikan yang terbaik. Tiada ruang untuk alasan dan apa juga yang berlaku, kami perlu hadapinya,” katanya.

Menurutnya, pengalaman beraksi dalam pelbagai kejohanan antarabangsa sebelum ini banyak membantu dirinya menyesuaikan diri dengan perubahan peralatan yang berbeza mengikut negara dan benua.

“Peralatan di setiap negara dan benua tidak sama. Jadi, cabaran utama ialah menyesuaikan diri secepat mungkin,” katanya.

Saingan gimnastik artistik di Sukan Komanwel Glasgow dijadual berlangsung hari ini hingga Selasa dengan Malaysia turut mempertaruhkan Muhammad Sharul Aimy dan Luqman Al Hafiz Zulfa dalam skuad lelaki, manakala Rachel Yeoh, Yeap Kang Xian serta Cadence Teh menggalas cabaran skuad wanita. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN