Ouahbi akur kehebatan Perancis

Ouahbi akur kehebatan Perancis

Pemain Perancis, Lucas Hernandez dan Desire Doue cuba menenangkan tonggak Maghribi, Achraf Hakimi (tengah) selepas perlawanan suku akhir di Stadium Boston, Foxborough, Massachusetts, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FOXBOROUGH: Pengendali Maghribi, Mohamed Ouahbi mengakui Perancis layak mara ke separuh akhir Piala Dunia 2026 selepas mempamerkan aksi lebih berkualiti untuk menewaskan pasukannya 2-0 pada pertemuan suku akhir, semalam.

Kekalahan itu memadam impian Maghribi untuk mencipta satu lagi sejarah di pentas dunia, namun Ouahbi tetap berbangga dengan komitmen dan semangat juang dipamerkan anak buahnya sepanjang kejohanan.

Menurut Ouahbi, skuad Singa Atlas tidak mempunyai alasan untuk mempertikaikan keputusan perlawanan kerana Perancis menguasai sebahagian besar permainan dan mencipta lebih banyak peluang berbahaya.

“Saya beritahu pemain supaya terus berasa bangga kerana kami sudah memberikan segala-galanya di atas padang. Namun, pada masa sama kami perlu menilai prestasi secara objektif dan mencari ruang untuk memperbaiki kelemahan.

“Kami tidak boleh sekadar berpuas hati atau terlalu bangga dengan pencapaian ini. Jika mahu menjadi pasukan yang lebih kuat, kami perlu terus belajar dan berkembang,” katanya.

Maghribi berdepan tugas sukar sejak wisel pertama apabila Perancis berjaya mengawal tempo permainan menerusi penguasaan bola yang tinggi, terutama di bahagian tengah dan sayap, sekali gus menyukarkan mereka untuk membina serangan yang berkesan.

Jelas Ouahbi, pasukannya gagal menguasai bola, selain kurang kreativiti dan ketajaman untuk memberi ancaman kepada benteng Les Bleus.

“Babak pertama amat sukar. Perancis sangat baik ketika menguasai bola, terutama di kawasan sayap dan tengah. Apabila kami memperoleh bola, peralihan permainan tidak begitu baik dan kami terpaksa bekerja lebih keras.

“Mereka mempunyai pemain berkualiti dan mencipta lebih banyak peluang menjaringkan gol. Kami pula kekurangan idea serta kesegaran untuk memberi ancaman ketika menguasai bola. Kami perlu menerima hakikat bahawa mereka lebih baik hari ini,” ujarnya.

Walaupun kecewa dengan penyingkiran tersebut, Ouahbi menyifatkan kejayaan mara ke suku akhir tetap satu pencapaian membanggakan buat Maghribi yang terus mengukuhkan status sebagai antara kuasa baharu bola sepak dunia.

Kekalahan itu juga mengulangi episod pahit Maghribi di Piala Dunia Qatar 2022 apabila mereka turut disingkirkan Perancis pada peringkat separuh akhir, menjadikan Les Bleus sebagai penghalang terbesar mereka di pentas tertinggi bola sepak. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN