Nurul Izzah lebih bersedia cabaran Glasgow

Nurul Izzah lebih bersedia cabaran Glasgow

Nurul Izzah Izzati Mohd Asri lebih bersedia untuk memikul cabaran dalam Sukan Komanwel 2026 di Glasgow yang akan membuka tirai 23 Julai ini. - MINGGUAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ratu berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mengakui dia kini lebih matang dari segi pengalaman dan taktikal bagi menghadapi Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland yang berlangsung pada 23 Julai hingga 2 Ogos ini.

Pelumba berusia 23 tahun itu berkata, penampilannya pada edisi 2022 menjadi pengalaman berharga apabila ketika itu dia masih baharu dalam program elit negara dan belum memahami sepenuhnya aspek taktikal perlumbaan.

Menurut Nurul Izzah, dia hadir ke Glasgow dengan persediaan lebih baik selepas melalui pelbagai kejohanan antarabangsa selain memiliki pemahaman lebih mendalam mengenai strategi perlumbaan.

“Pada Komanwel 2022, saya baru masuk ke program podium dan ketika itu saya masih lagi ‘newbie’. Saya masih belum tahu sangat mengenai taktikal, jadi masa itu saya hanya kayuh sahaja.

“Sekarang saya harap dapat menunjukkan peningkatan berbanding sebelum ini kerana pengalaman banyak mengajar saya,” katanya.

Nurul Izzah berkata, penampilannya kali ini turut membawa tanggungjawab lebih besar apabila dia bukan lagi sekadar pelumba muda, sebaliknya mahu menjadi pencetus inspirasi kepada generasi baharu dalam skuad berbasikal trek negara.

“Ini kali kedua saya ke Komanwel. Sebagai senior, saya mahu memberikan saingan kepada junior-junior saya dan menjadi inspirasi kepada mereka.

“Kami mahu terus berkembang bersama-sama dan membawa nama negara dengan lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Izzah menyedari format repechage yang memberi peluang kedua kepada pelumba untuk kembali bersaing mampu membantu atlet yang tersingkir pada peringkat awal.

Bagaimanapun, pelumba kelahiran Kedah itu menegaskan sasaran utamanya adalah memastikan prestasi terbaik dipamerkan sejak pusingan awal tanpa bergantung kepada laluan repechage.

“Memang repechage memberikan lebih banyak peluang tetapi ia 50-50 sama ada kita dapat atau tidak.

“Jalan yang lebih selamat adalah tidak masuk repechage dan terus mara ke pusingan seterusnya. Jadi bagi saya, setiap perlumbaan dan setiap acara perlu dilakukan dengan sebaik mungkin.

“Kami perlu memastikan taktikal betul dan bersedia menghadapi apa sahaja kemungkinan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN