PETALING JAYA: Jurulatih olahraga negara, Mohd Nizam Md Yusof tidak menolak kuartet 4×100 meter (m) lelaki kebangsaan akan mengalami perubahan dalam usaha mereka memburu pingat di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Ketika ini, kuartet negara diwakili Muhammad Azeem Mohd Fahmi, Reeve Kua Man Hong, Pengiran Aidil Auf Hajam dan Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif bertindak cemerlang apabila meraih gangsa di Kejohanan Olahraga Asia Bawah 23 (B-23) di Ordos, China, Ahad lalu.
Seorang lagi pelari negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee tidak dapat menyertai kejohanan tersebut berikutan tidak melepasi had kelayakan umur seperti yang ditetapkan oleh penganjur.
Mengulas pencapaian itu, Mohd. Nizam berkata, kejayaan meraih gangsa tidak boleh dijadikan ukuran sebenar terhadap kekuatan pasukan menjelang Sukan Asia pada September ini.
“Nak kata ini gambaran ke Sukan Asia tak juga. Kuartet ini akan berubah juga, kemungkinan besar. Saya tak pasti lagi sebab kita dalam penilaian untuk memilih yang terbaik bagi menyertai temasya itu nanti,” katanya.
Terdahulu, Danish turut membarisi kuartet negara bersama Azeem, Aidil Auf dan Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif untuk menjuarai Terbuka Malaysia pada 21 Jun lalu.
Sebagai rekod, rekod kebangsaan 4x100m negara dipegang oleh gandingan Aliff Iman Fahmi, Jonathan Nyepa, Aidil Auf dan Danish Iftikhar ketika mereka beraksi di Sukan SEA 2025, Disember lalu. – UTUSAN







