Messi selangkah pahat sejarah baharu 

Messi selangkah pahat sejarah baharu 

Kreativiti penyerang Argentina, Lionel Messi menyebabkan England tersungkur dalam saingan separuh akhir Piala Dunia 2026, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATLANTA: Lionel Messi sekali lagi membuktikan statusnya sebagai antara pemain terbaik sepanjang zaman apabila mencetus inspirasi kebangkitan Argentina untuk menewaskan England 2-1 dan mara ke final Piala Dunia.

Juara bertahan itu hampir tersingkir apabila ketinggalan hasil jaringan Anthony Gordon sehingga minit ke-85, sebelum sentuhan magis kapten Argentina mengubah nasib pasukannya di Stadium Mercedes-Benz, semalam.

Walaupun tidak meledak gol, kapten berusia 39 tahun itu sekali lagi menjadi nadi utama kejayaan Albiceleste apabila sentuhan kreatifnya memadamkan harapan England dan membawa negaranya ke final Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut.

“Ini adalah perasaan yang sangat istimewa. Saya fikir seluruh pasukan dapat merasakannya dan ini memang perlawanan yang rakyat Argentina benar-benar mahu kami menangi.

“Begitu juga dengan kami. Perlawanan menentang England sentiasa mempunyai makna yang cukup istimewa,” kata Messi selepas kali pertama berdepan England di pentas antarabangsa.

Kemenangan tersebut memberi peluang kepada Argentina untuk mempertahankan trofi yang dimenangi di Qatar empat tahun lalu, selain membuka ruang kepada Messi menambah satu lagi babak gemilang dalam karier yang sudah dipenuhi pelbagai kejayaan.

Messi turut muncul pemain kedua dalam sejarah Piala Dunia selepas legenda Brazil, Cafu, beraksi dalam tiga final kejohanan berprestij tersebut.

Argentina sebelum ini turut mempamerkan semangat juang sama ketika bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Mesir 3-2 pada pusingan 16 terakhir di stadium sama.

“Ia sesuatu yang luar biasa dapat beraksi dalam dua final berturut-turut.

“Sekali lagi kami berjaya menyelesaikan tugas walaupun keadaan kelihatan sukar. Kami tidak pernah berhenti percaya,” kata Messi yang kini mencatat rekod 33 penampilan di Piala Dunia dalam enam edisi kejohanan.

Meskipun kecewa, kapten England, Harry Kane tanpa berselindung memberikan penghormatan kepada Messi yang sekali lagi menjadi pemusnah impian pasukannya meskipun mereka sempat merantai pemain itu seketika.

“Saya fikir sepanjang sebahagian besar perlawanan kami berjaya mengawalnya dengan baik. Tetapi seperti semua pemain paling berbahaya di dunia, apabila dia mendapat bola di kawasan serangan, dia mampu mencipta sesuatu.

“Dia melakukannya sekali lagi hari ini. Itulah sebabnya dia dianggap antara pemain terbaik sepanjang zaman,” katanya.

Jika berjaya mempertahankan gelaran dunia, Messi bukan sahaja akan menambah koleksi trofinya, malah mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pemain terhebat yang pernah menghiasi pentas bola sepak dunia.

Selain muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia dengan 21 gol, Messi juga bakal menjadi tonggak utama pasukan pertama yang mempertahankan gelaran dunia sejak Brazil melakukannya pada 1962.

Final menentang Sepanyol juga mempunyai membawa makna tersendiri buat Messi yang berhijrah ke Barcelona ketika berusia 13 tahun dan menghabiskan lebih dua dekad bersama kelab gergasi Catalan itu sebelum meninggalkannya pada 2021. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN