LOS ANGELES: Aksi yang dipamerkan Lionel Messi di Piala Dunia 2026 dengan meledak lapan gol setakat ini mengingatkan peminat kepada zaman kegemilangannya ketika muda.
Tenaga, kreativiti dan pengaruh Messi sepanjang kejohanan kali ini mengundang pujian dari seluruh dunia, dengan ramai pemerhati menyifatkan apa yang dilakukannya ketika ini adalah luar biasa.
Penghormatan terbaharu hadir daripada jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente yang menganggap Messi ketika ini beraksi seolah-olah seperti remaja berusia 19 tahun.
“Lionel Messi kelihatan seperti berusia 19 tahun. Dia tidak mengenal penat, sentiasa dahagakan kejayaan dan menjadi contoh kepada setiap orang,” kata De la Fuente.
Kenyataan itu pantas menjadi tajuk utama media di seluruh dunia, mencerminkan kekaguman terhadap pemain yang masih mampu beraksi pada tahap tertinggi walaupun sudah memenangi hampir setiap trofi utama yang ditawarkan dalam sukan ini.
Bagi De la Fuente, semangat juang Messi yang tidak pernah luntur sama mengagumkan dengan kemampuan teknikalnya.
Keupayaannya mengekalkan keazaman dan kelaparan untuk berjaya seperti ketika awal karier menjadi penanda aras kepada generasi muda.
Pandangan jurulatih Sepanyol itu turut mengukuhkan kepercayaan ramai penganalisis dan bekas pemain bahawa Messi masih antara pemain paling berpengaruh dalam kejohanan ini.
Sama ada menerusi jaringan, bantuan gol, kepimpinan atau kebolehannya mengawal rentak permainan, kapten Argentina itu terus menjadi nadi utama pasukan kendalian Lionel Scaloni. – AGENSI/UTUSAN










