Maghribi akur kehebatan Perancis

Maghribi akur kehebatan Perancis

Jurulatih Maghribi, Mohamed Ouahbi (kanan) bersalaman dengan rakan sejawatannya dari Perancis, Didier Deschamps selepas tamat perlawanan kedua-dua pasukan itu semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FOXBOROUGH: Ketua jurulatih Maghribi, Mohamed Ouahbi mengakui pasukannya tewas kepada lawan yang lebih baik selepas impian mara ke separuh akhir Piala Dunia tidak kesampaian apabila tumbang 0-2 kepada Perancis pada aksi suku akhir, semalam.

Menurut Ouahbi, keputusan itu sememangnya mengecewakan, namun dia tetap berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan anak buahnya sepanjang kejohanan.

“Saya memberitahu pemain supaya terus mengangkat kepala kerana kami telah memberikan segala-galanya di atas padang. Namun, kami perlu menilai kembali prestasi ini kerana proses untuk terus berkembang amat penting.

“Kami tidak boleh sekadar berpuas hati atau berbangga dengan apa yang dicapai. Kami perlu bersikap objektif, melakukan penilaian kendiri dan mengenal pasti perkara yang perlu diperbaiki,” katanya kepada pemberita.

Maghribi lebih banyak bertahan sepanjang perlawanan apabila Perancis menguasai permainan sejak wisel permulaan, sekali gus menyukarkan mereka mencipta peluang.

“Babak pertama sangat sukar buat kami. Perancis menguasai bola dengan baik, banyak memberi tekanan di bahagian sayap dan juga di tengah.

“Apabila kami menguasai bola, peralihan permainan tidak berjalan lancar menyebabkan kami terpaksa bekerja lebih keras, manakala mereka semakin selesa mengawal permainan,” katanya.

Ouahbi mengakui Perancis memiliki barisan pemain berkualiti selain lebih tajam dalam memanfaatkan peluang yang terhasil.

“Mereka adalah pasukan yang hebat. Mereka mempunyai pemain berkualiti dan mencipta lebih banyak peluang menjaringkan gol. Kami pula kekurangan idea serta tenaga untuk melakukan sesuatu apabila menguasai bola. Kami perlu menerima kekalahan ini.

“Memang sukar untuk bercakap sejurus selepas tamat perlawanan, tetapi kami juga tidak boleh terlalu menyesal apabila berjaya mara sehingga ke suku akhir,” katanya.

Empat tahun lalu di Qatar, Maghribi turut melangkah ke separuh akhir sebelum disingkirkan Perancis.

Ouahbi percaya pasukannya mampu memberi saingan lebih hebat pada masa depan jika terus meningkatkan prestasi.

“Kami tahu kami mampu bersaing dengan mereka, tetapi kami perlu bekerja lebih keras. Hari ini jelas Perancis lebih kuat, namun saya percaya kami boleh terus berkembang dan mungkin mampu menyingkirkan mereka jika bertemu lagi dalam tempoh empat tahun akan datang,” katanya.

Maghribi bakal menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia 2030 bersama Sepanyol dan Portugal. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN