JITRA: Jentayu FC memulakan langkah kanan dalam kejohanan Liga Kedah 2026 Piala DZR apabila meraih kemenangan pertama sekali gus membawa pulang tiga mata dalam perlawanan pembukaan di Stadium Mini MPKP, malam tadi.
Pasukan berpangkalan di Langkawi itu menumpaskan MADA FC 3-2 walaupun beraksi dengan sembilan pemain setelah dua kad merah diterima akibat mengasari pemain lawan.
Jentayu FC membuka tirai jaringan pada minit ke-11 menerusi rembatan deras Muhammad Ad Dha dari kiri gawang MADA FC. Keputusan 1-0 kekal sehingga babak pertama berakhir.
Lima minit memasuki separuh masa kedua, Jentayu FC memperoleh gol kedua menerusi jaringan penyerangnya dari Thailand, Thanphisit Hempandan pada minit ke-50, sebelum Muhammad Fizry mengukuhkan kedudukan 3-0, dua minit kemudian.
Pada minit ke-68, MADA FC cuba merapatkan jurang setelah memperoleh gol pertama menerusi Muhammad Farhan dan gol kedua melalui Mohd Ikmal Faiz pada masa tambahan, namun keputusan 3-2 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.
Perlawanan kedua Liga Kedah 2026 Piala DZR akan menemukan FC Peqedu dan UB Green FC di Stadium Mini Pendang, pukul 5 petang ini sebelum aksi lain pada minggu seterusnya sehingga perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 12 September depan.
Sementara itu, Penaung Persatuan Bolasepak Melayu Kedah (PBMK), Datuk Zuraidi Rahim berkata, kejohanan itu bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya bakal menjadi platform utama memilih pemain-pemain berbakat untuk bersaing dalam Piala Emas Raja-Raja.

Beliau berkata, kejohanan itu merupakan langkah awal dalam usaha mengembalikan kegemilangan bola sepak Kedah yang dilihat semakin malap sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Katanya, kerjasama erat antara PBMK dan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan memberi fokus kepada usaha mencungkil serta membangunkan bakat baharu bagi memastikan Kedah kembali menjadi antara kuasa besar bola sepak negara.
“Ini antara usaha yang kita garapkan bersama PBMK untuk meneruskan legasi bola sepak Kedah. Saya melihat prestasi bola sepak negeri ini agak malap dan sebab itu kita turun ke padang bersungguh-sungguh untuk menggilap semula kegemilangannya,” katanya.
Tambah Zuraidi, PBMK turut merancang mewujudkan beberapa pusat pembangunan atau klinik bola sepak di sekolah-sekolah terpilih bagi melatih pemain seawal usia 15 hingga 18 tahun.
“Antara sekolah dikenal pasti ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mergong dan SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman (TATAR), selain beberapa sekolah lain yang akan dipilih sebagai pusat pembangunan bakat.
“Klinik-klinik bola sepak ini akan menjadi platform untuk membentuk pelapis yang mampu membawa nama Kedah pada masa depan kerana kita mahu lahirkan semula pemain-pemain berkualiti yang mampu menjadi legasi seperti generasi emas Kedah yang mencipta kegemilangan pada era 1990-an,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan kehadiran penyokong yang memberangsangkan pada aksi Liga Kedah 2026 Piala DZR membuktikan peminat bola sepak di negeri ini masih dahagakan kebangkitan pasukan Kedah.
“Ini baru langkah permulaan. Saya melihat semangat penyokong sudah mula kembali. Kita harap sokongan ini berterusan supaya kita dapat membina naratif baharu dan mengembalikan kegemilangan bola sepak Kedah pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN








