Legenda England kritik Tuchel 

Legenda England kritik Tuchel 

Harry Kane jelas kecewa selepas England gagal ke final Piala Dunia 2026 selepas tewas 1-2 kepada Argentina, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATLANTA: Impian England untuk menamatkan penantian panjang menjulang trofi Piala Dunia sekali lagi berkecai apabila tewas 1-2 kepada Argentina dalam aksi separuh akhir yang penuh drama, semalam.

Kekalahan itu menyaksikan pengurus The Three Lions, Thomas Tuchel dikritik hebat oleh bekas pemain England yang menyifatkan taktikal pengendali kelahiran Jerman itu ‘memakan diri’.

England pada awalnya berada di landasan terbaik untuk mara ke pentas final selepas Anthony Gordon meletakkan The Three Lions di hadapan menerusi jaringan pada minit ke-56 namun keputusan taktikal Tuchel pada babak akhir perlawanan menjadi titik perubahan yang merugikan pasukannya.

Tindakan Tuchel memilih untuk memperkukuhkan benteng pertahanan dengan mengeluarkan Gordon dan memasukkan Ezri Konsa pada minit ke-72, menyaksikan England beralih kepada sistem lima pertahanan, strategi yang sebelum ini berjaya digunakan ketika menewaskan Mexico pada pusingan 16 terakhir.

 Sebaliknya, perubahan taktikal itu menyebabkan England semakin banyak bertahan dan memberi ruang kepada Argentina untuk menguasai permainan dan melakukan serangan bertali arus.

Argentina akhirnya memanfaatkan situasi tersebut apabila Enzo Fernandez menjaringkan gol penyamaan sebelum Lautaro Martinez meledak gol kemenangan pada penghujung perlawanan, dengan kedua-dua bantuan gol tersebut disumbang oleh Lionel Messi.

Legenda England, Wayne Rooney, menyifatkan kekalahan itu berpunca daripada kegagalan pasukan mengawal permainan selepas mendahului dan sepatutnya terus menekan lawan.

“Kita berada dalam kedudukan yang sangat baik tetapi tidak tahu apa yang perlu dilakukan selepas itu. Apabila anda mendahului 1-0, anda perlu terus mengawal permainan, bukannya menukar kepada lima atau enam pemain pertahanan. 

“Jika anda memberi ruang kepada Lionel Messi dan Argentina menguasai perlawanan, anda sebenarnya sedang mencari masalah,” kata Rooney ketika mengulas aksi tersebut menerusi BBC.

Bekas penjaga gol England, Joe Hart, turut meluahkan kekecewaan terhadap keputusan Tuchel yang disifatkannya sebagai petanda beliau kurang yakin terhadap kemampuan pasukannya sendiri.

“Di sebalik segala pujian yang kita berikan kepada Tuchel sebelum ini, tindakan beliau membuat pertukaran seawal itu menunjukkan satu perkara bahawa beliau sendiri tidak percaya kepada pasukannya. Beliau tidak yakin pemain England mampu beri ‘pukulan’ seterusnya kepada Argentina,” tegas Hart.

Seorang lagi legenda England, Alan Shearer, berpendapat percaturan yang banyak membantu Tuchel sepanjang kejohanan akhirnya memakan diri pada saat paling penting.

“Apa yang menjadi sepanjang kejohanan ini akhirnya memakan diri dalam tempoh 10 hingga 15 minit terakhir. Mereka langsung tidak dapat keluar dari kawasan sendiri dan akhirnya dihukum,”jelasnya.

Kekalahan tersebut menyaksikan England terpaksa melupakan impian ke final dan kini dijadualkan menentang Perancis dalam perlawanan penentuan tempat ketiga. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN