Latif hanya ada satu peluang cipta sejarah

Latif hanya ada satu peluang cipta sejarah

latif
ABDUL Latif Romly menjadi harapan emas Malaysia di Sukan Komanwel 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sukan Komanwel Glasgow 2026 berkemungkinan menjadi satu-satunya peluang buat jaguh lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly memburu pingat emas.

Selepas dua edisi berturut-turut tidak dipertandingkan, acara lompat jauh T20 akhirnya dipertandingkan dengan Abdul Latif dijadual beraksi dalam final pada 3 pagi, esok.

“Ini kali pertama acara saya dipertandingkan di Sukan Komanwel. Saya menunggu selama dua edisi apabila acara ini tidak dipertandingkan dan tahun ini akhirnya T20 dimasukkan. Saya sudah menetapkan sasaran untuk memecahkan rekod dunia.

“Saya mahu memberikan yang terbaik kerana acara ini mungkin tidak akan dipertandingkan lagi pada edisi akan datang. Jika boleh, saya mahu melakukan lompatan sejauh 7.80 meter (m) atau lebih,” katanya.

Hasrat itu bukan sekadar impian kerana atlet kelahiran Perlis berusia 29 tahun tersebut hadir ke Glasgow sebagai pemegang rekod dunia 7.67m selain juara Paralimpik dua kali dan juara dunia lima kali dalam acara T20.

Malah, prestasi semasanya memberi keyakinan lebih besar apabila beliau menewaskan atlet normal untuk meraih emas di Kejohanan Terbuka Malaysia menerusi lompatan 7.76m sebelum sekali lagi mengungguli Terbuka Kedah dengan catatan 7.94m, sekali gus memadamkan rekod kejohanan berusia 29 tahun milik legenda negara, Zaki Sadri.

“Alhamdulillah, sekarang saya memang bebas daripada kecederaan. Sasaran saya sekarang adalah untuk mencapai prestasi kemuncak di Sukan Komanwel 2026.

“Saya rasa ini memang tahun terbaik buat saya kerana prestasi saya musim ini semakin baik. Catatan 7.76 meter di Terbuka Malaysia memberikan keyakinan kepada saya untuk melakukan sesuatu yang lebih baik di Glasgow. Jika saya berjaya mengulanginya, ia akan menjadi rekod dunia baharu,” katanya.

Berdasarkan prestasi semasa, segala ramuan kini dilihat memihak kepada Abdul Latif untuk menamatkan penantian panjangnya di pentas Komanwel, namun cabaran sebenar bukan sekadar memburu emas, sebaliknya memastikan nama Malaysia terpahat sebagai juara sulung acara lompat jauh T20 dalam sejarah temasya itu.

Jika impian tersebut menjadi kenyataan, Abdul Latif bukan sahaja melengkapkan koleksi kejuaraan yang dimilikinya, malah menutup penantian lapan tahun dengan cara paling sempurna iaitu menghadiahkan emas pertama Malaysia dalam acara yang akhirnya diberi tempat di Sukan Komanwel.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN