Ismael terlepas aksi menentang Perancis

Ismael terlepas aksi menentang Perancis

Ismael Saibari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FOXBOROUGH: Maghribi menerima tamparan hebat apabila pemain tengah, Ismael Saibari disahkan terlepas aksi tumpuan suku akhir Piala Dunia 2026 menentang Perancis di Stadium Boston, esok.

Pengendali Maghribi, Mohamed Ouahbi mengesahkan perkara itu dan mengakui perlawanan penting itu hadir terlalu awal buat Ismael yang masih bergelut dengan kecederaan hamstring.

“Semua pemain berada dalam tahap kecergasan 100 peratus kecuali Saibari. Perlawanan ini datang terlalu awal buatnya, namun saya berharap dia tidak diketepikan untuk baki kejohanan ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Kehilangan Saibari pastinya merencatkan rancangan Maghribi memandangkan pemain itu merupakan nadi utama pasukan, meledak gol dalam ketiga-tiga aksi peringkat kumpulan dan menyempurnakan sepakan penalti kemenangan ketika menyingkirkan Belanda di pusingan 32 terakhir.

Ismael mengalami kecederaan itu ketika Maghribi meratah Kanada 3-0 dalam aksi 16 terakhir, Sabtu lalu, yang menyaksikan tempatnya digantikan oleh penyerang, Soufiane Rahimi yang turut meledak gol ketiga pasukan dalam perlawanan tersebut.

Pertemuan menentang Les Bleus ini bukan sekadar perebutan tiket ke separuh akhir, malah menjadi medan melunas dendam buat Maghribi yang tumpas 0-2 kepada lawan sama dalam aksi separuh akhir Piala Dunia 2022 di Qatar.

Ouahbi, yang mengambil alih tugas daripada Walid Regragui pada Mac lalu, memberi amaran kepada anak-anak buahnya agar tidak berpuas hati sekadar melangkah ke peringkat suku akhir.

“Kami amat mahu memenangi perlawanan esok, jadi kami tidak akan peduli cakap-cakap orang yang mengatakan tidak mengapa jika kami tersingkir sekarang.

“Esok kami akan bermati-matian untuk ke separuh akhir. Saya tidak suka sentimen yang mengatakan kami sudah melakar kejayaan dan apa-apa selepas ini hanyalah bonus,” tegasnya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN