PUCHONG: Pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish Ramli memilih untuk kekal beraksi dalam kelas Moto3 sekurang-kurangnya semusim lagi kerana percaya masih banyak ilmu perlu ditimba sebelum melangkah ke pentas Moto2.
Walaupun namanya kini hangat dikaitkan dengan spekulasi perpindahan ke Moto2 musim depan, Hakim Danish berkata, fokus utamanya ketika ini adalah mengakhiri musim dengan keputusan terbaik, manakala segala urusan berkaitan kontrak diserahkan sepenuhnya kepada Zulfahmi Khairuddin selaku pengurus SIC Racing.
“Kalau boleh saya mahu kekal semusim lagi di Moto3. Apa-apapun keputusan saya serahkan kepada Abang Fahmi (Zulfahmi) kerana beliau yang akan menentukan perkara itu.
“Saya masih mahu menimba lebih banyak pengalaman dalam Moto3. Kalau naik ke Moto2, cabarannya lebih besar dengan jentera yang lebih berkuasa, lebih berat dan saingan juga lebih sengit.
“Saya rasa masih banyak yang boleh dipelajari daripada aspek kawalan motosikal, cara perlumbaan dan bagaimana untuk menjadi lebih kompetitif,” katanya kepada pemberita selepas majlis penajaan RCB di sini, semalam.
Menurut Hakim Danish, sasaran untuk beralih ke Moto2 hanya akan dipertimbangkan sekiranya prestasinya benar-benar meyakinkan.
“Saya anggarkan mungkin selepas setahun lagi di Moto3. Tetapi semuanya bergantung kepada prestasi. Kalau keputusan saya bagus, barulah saya layak naik ke kategori seterusnya,” ujarnya.
Pelumba berusia 18 tahun itu juga enggan mengulas mengenai spekulasi pasukan yang bakal disertai pada musim depan kerana fokusnya hanya kepada baki saingan musim ini.
Walaupun sudah meraih podium dan kemenangan musim ini, Hakim Danish mengakui dia masih belum berpuas hati kerana impiannya adalah untuk menjadi pencabar Kejuaraan Dunia Moto3.
“Memang saya gembira dengan kemenangan dan podium, tetapi itu belum cukup. Saya mahu lebih konsisten, lebih banyak podium dan sentiasa berada di kelompok hadapan,” tegasnya.
Dalam pada itu, Hakim Danish turut mengucapkan terima kasih kepada RCB yang banyak memberikan sokongan menerusi penajaan dalam membantunya menjalani sesi latihan di Eropah.
“Selain peralatan sokongan yang disediakan untuk saya berlatih di Eropah, RCB banyak menjaga kebajikan saya dan saya juga diberi insentif sebanyak RM6,000 yang disalurkan ke dalam akuan Amanah Saham Bumiputera,” katanya.-UTUSAN










