KUALA LUMPUR: Status selaku pemain nombor satu dunia bukan tiket automatik buat atlet boling padang negara, Emma Firyana Saroji untuk mendabik dada, sebaliknya dianggap sebagai tanggungjawab besar yang perlu diterjemahkan dengan kejayaan di Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Tonggak boling padang negara itu sedar segala tumpuan kini terarah kepadanya, namun memilih untuk menjadikan tekanan tersebut sebagai pembakar semangat dalam memburu pingat buat kontinjen Malaysia.
Menurut Emma, setiap pemain yang bergelar nombor satu dunia pasti berdepan harapan tinggi, namun perkara itu tidak akan mengganggu fokusnya untuk mengharungi cabaran di Scotland.
“Tipulah kalau tak ada tekanan. Memang saya rasa semua mata akan tertumpu kepada saya, tetapi saya anggap ia sebagai satu tanggungjawab untuk membawa nama Malaysia dengan sebaik mungkin,” katanya ketika lawatan CDM bersama atlet ke Sukan Komanwel 2026 di Majlis Sukan Negara, semalam.
Emma bakal turun dalam acara perseorangan dan percaya persiapan pasukan berada di landasan tepat walaupun mereka masih perlu menyesuaikan diri dengan gelanggang sebenar sebaik tiba di Glasgow.
Katanya, penggunaan gelanggang mudah alih di Malaysia memberi kelebihan awal kerana ia membantu pemain membiasakan diri dengan keadaan gelanggang tertutup yang bakal digunakan pada temasya berkenaan.
Dalam masa sama, Emma mengakui laluan ke pentas separuh akhir bukan mudah apabila format pertandingan hanya membenarkan juara setiap kumpulan mara ke kelompok empat terbaik.
Justeru, pemain berusia 27 tahun itu enggan memikirkan sasaran terlalu jauh, sebaliknya mahu memberi tumpuan penuh kepada setiap perlawanan.
“Kami tidak boleh melakukan kesilapan. Sasaran kami adalah memenangi setiap perlawanan dalam kumpulan dahulu sebelum memikirkan aksi separuh akhir,” katanya.
Sementara itu, rakan sepasukannya, Izzat Shameer Dzukeple pula membawa misi peribadi apabila mahu melunaskan dendam terhadap pencabar dari Kanada, Ryan Baster yang pernah menyingkirkannya di pentas dunia.
Kekalahan pada suku akhir Kejohanan Dunia 2023 sebelum ini masih segar dalam ingatan Izzat, namun kali ini dia percaya pengalaman yang dimiliki mampu mengubah keputusan sekiranya mereka dipertemukan sekali lagi.
“Saya pernah tewas kepada dia sebelum ini. Ketika itu mungkin saya kurang pengalaman dan agak gementar. Jika bertemu lagi, saya mahu ubah rekod itu dan buktikan saya mampu menewaskannya,” katanya. – UTUSAN










