NEW YORK: Harapan England untuk menamatkan penantian panjang menjulang Piala Dunia ranap selepas mereka tumbang kepada Argentina dalam aksi separuh akhir, semalam, satu kekalahan yang disifatkan sebagai kegagalan taktikal oleh pengendalinya Thomas Tuchel.
Dalam aksi menentang Argentina itu, Tuchel yang dilantik oleh FA England pada 2024 berdasarkan keyakinan terhadap reputasi beliau sebagai pakar perlawanan kalah mati dan perancangan taktikal terperinci melakukan kesilapan besar yang akan dikenang selamanya.
Anthony Gordon meletakkan England di hadapan menerusi serangan balas pantas yang menjadi gambaran tepat perancangan Tuchel dan ketika itu The Three Lions dalam situasi ideal apabila Argentina terpaksa membuka permainan dan meninggalkan ruang untuk dieksploitasi.
Bagaimanapun, England gagal meneruskan tekanan, sebaliknya mereka memilih bertahan secara mendalam dan tidak menggunakan kepantasan pemain di bangku simpanan seperti Bukayo Saka, Noni Madueke atau Marcus Rashford bagi mengekang kemaraan Argentina atau mengunci kemenangan.
Daripada mengarahkan pasukannya kembali bermain lebih tinggi di atas padang atau sekurang-kurangnya memberikan sesuatu untuk dibimbangkan oleh Argentina, Tuchel memilih untuk mengulangi pendekatan yang dikenali sebagai Pelan Azteca.
Beliau menukar sistem kepada pertahanan lima pemain, dan mengarahkan meeka berkampung di kawasan sendiri, memasukkan Ezri Konsa sebagai pertahanan tengah tambahan dan mengeluarkan Anthony Gordon, pemain yang sebelum itu memberikan England kelebihan menerusi jaringan pembukaan.
Namun, melaksanakan strategi bertahan ketika berdepan Argentina merupakan keputusan yang membawa risiko besar, malah membina benteng pertahanan dalam kawasan penalti sendiri, England secara tidak langsung menyerahkan ruang di luar kotak penalti kepada Lionel Messi.
England telah memberi terlalu banyak ruang kepada pemain terbaik Argentinaitu untuk mengawal permainan dan akhirnya Three Lions dihukum. – UTUSAN










