Collina sangkal dakwaan FIFA bantu Argentina

Collina sangkal dakwaan FIFA bantu Argentina

Pierluigi Collina
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Ketua Pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Pierluigi Collina menolak dakwaan kononnya badan induk bola sepak dunia itu mempengaruhi keputusan pengadil bagi membantu Argentina mara dalam saingan Piala Dunia.

Menurut Collina, tuduhan yang dilemparkan terhadap pegawai perlawanan selepas kemenangan kontroversi Argentina 3-2 ke atas Mesir pada aksi pusingan 16 terbaik itu adalah tidak berasas dan boleh mengancam keselamatan pengadil serta keluarga mereka.

“Perbincangan secara membina mengenai keputusan pengadil sememangnya sebahagian daripada bola sepak, namun dakwaan yang tidak berasas tidak mempunyai tempat dalam sukan ini.

“Tiada siapa boleh mempertikaikan integriti pegawai perlawanan Piala Dunia FIFA. Tuduhan seperti ini boleh mencetuskan ancaman terhadap mereka dan ahli keluarga mereka.

“Begitu juga, tiada siapa boleh mendakwa badan pengadilan FIFA boleh dipengaruhi oleh mana-mana pihak, termasuk Presiden FIFA, Gianni Infantino,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman web rasmi FIFA.

Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas tuduhan jurulatih Mesir, Hossam Hassan yang mendakwa pasukannya menjadi mangsa keputusan pengadilan yang berat sebelah ketika tewas kepada Argentina di Atlanta.

Hassan sebelum ini mendakwa pengadil dari Perancis, Francois Letexier yang mengendalikan perlawanan tersebut mungkin menerima tekanan daripada pihak luar bagi memihak kepada juara dunia itu.

Dia turut mendakwa FIFA mahu memastikan Argentina terus kekal dalam kejohanan, sekali gus memberi peluang kepada kapten pasukan itu, Lionel Messi meneruskan cabaran memburu kejuaraan.

“Kami telah ditipu secara tidak adil hari ini. Kami menjadi mangsa ketidakadilan. Mungkin FIFA mahu juara dunia terus berada dalam kejohanan. Mungkin mereka mahu Messi terus bersaing,” katanya kepada BeIN Sports.

Kontroversi tercetus apabila jaringan Mostafa Zico yang sepatutnya meletakkan Mesir di hadapan 2-0 dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati berlaku kekasaran lebih awal dalam gerakan yang membawa kepada gol tersebut.

Mengulas keputusan itu, Collina menjelaskan campur tangan VAR adalah selaras dengan peraturan permainan.

“Jika satu kekasaran dikenal pasti dalam gerakan yang membawa kepada gol dan didapati memberi kesan terhadap jaringan itu, VAR akan mencadangkan semakan di tepi padang.

“Tiada had ditetapkan sama ada dari segi jarak atau tempoh masa antara insiden dan jaringan. Selagi kekasaran itu mempunyai kaitan dengan gol yang dijaringkan, VAR berhak campur tangan.

“Bagi kami, kekasaran tetap satu kekasaran. Jika pengadil tidak melihat insiden itu di atas padang, VAR boleh membantu membuat semakan,” katanya. – AFP/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN