MIAMI: Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni menegaskan pasukannya tidak akan memandang rendah keupayaan Cape Verde menjelang pertemuan pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026, esok, meskipun lawan mereka itu merupakan pendatang baharu kejohanan.
Menurut Scaloni, status selaku juara bertahan tidak menjadikan Argentina berada dalam kedudukan selesa kerana setiap perlawanan di peringkat kalah mati adalah penting bagi sesebuah pasukan.
“Kami berada dalam prestasi yang baik, tetapi di peringkat ini jurangnya sangat kecil. Jika tewas, kami akan tersingkir. Kami sedar hakikat itu,” katanya kepada pemberita.
Cape Verde mencipta sejarah apabila muncul negara paling kecil pernah mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia selepas mengikat Sepanyol, Uruguay dan Arab Saudi pada aksi peringkat kumpulan.
Scaloni berkata, kejayaan itu membuktikan Cape Verde bukan sekadar pelengkap jadual, sebaliknya sebuah pasukan yang memiliki organisasi permainan yang baik.
“Kami sudah menilai mereka lebih awal ketika menganalisis beberapa bakal lawan. Mereka layak ke sini atas kemampuan sendiri dan bukannya secara kebetulan.
“Mereka sebuah pasukan yang baik dan kami menghormati mereka sepenuhnya,” katanya.
Scaloni turut memuji corak permainan Cape Verde yang disifatkan cukup berdisiplin ketika bertahan selain berbahaya menerusi serangan balas.
“Mereka sepatutnya menewaskan Arab Saudi. Ketika berdepan Sepanyol dan Uruguay, mereka banyak bertahan, namun berjaya menutup ruang dengan baik serta mempunyai pemain yang berkualiti,” katanya.
Dalam pada itu, Scaloni menolak tanggapan bahawa Argentina terlalu bergantung kepada Lionel Messi selepas kapten pasukan itu meledak enam daripada lapan gol pasukan sepanjang kempen peringkat kumpulan.
Katanya, Argentina terus mencipta banyak peluang jaringan dan semua pemain diberikan peranan untuk menyumbang gol.
“Segala yang dilakukan Messi sentiasa menjadi perhatian kerana dia pemain hebat. Namun, kami juga mempunyai penyerang lain.
“Sama ada dia bergandingan dengan Julian Alvarez atau Lautaro Martinez, kami mahu semua pemain menjaringkan gol,” katanya.
Messi dijangka kembali mengemudi jentera serangan Argentina selepas direhatkan pada aksi terakhir peringkat kumpulan.
Bagaimanapun, Scaloni enggan mengulas mengenai tempoh permainan yang mampu diharungi pemain berusia 39 tahun itu, termasuk kemungkinan aksi berlarutan ke masa tambahan dalam cuaca panas di Miami.
“Saya tidak tahu bagaimana perlawanan akan berlangsung atau bagaimana keadaan fizikalnya nanti.
“Dia berada pada prestasi yang baik dan saya harap semuanya berjalan lancar, namun semuanya bergantung kepada situasi perlawanan serta keadaannya ketika itu,” katanya. – AGENSI










