MONTERREY: Penyerang Jepun, Ayase Ueda memberi amaran kepada Sweden bahawa dia kini berada pada tahap keyakinan tertinggi selepas meledak dua gol ketika membantu Samurai Biru membelasah Tunisia 4-0 dalam aksi Kumpulan F Piala Dunia 2026, kelmarin.
Kemenangan itu menyaksikan Jepun berkongsi kedudukan teratas kumpulan bersama Belanda dan hanya selangkah lagi untuk mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati dengan baki satu perlawanan.
Dalam perlawanan ke-1,000 dalam sejarah Piala Dunia yang berlangsung di Monterrey, Jepun mempamerkan aksi meyakinkan apabila mendominasi Tunisia yang gagal memberi saingan.
Ueda yang kini beraksi bersama Feyenoord di Belanda membuka jaringan menerusi rembatan menarik dari luar kotak penalti sebelum menambah gol kedua menerusi tandukan pada penghujung perlawanan.
Dua lagi gol Jepun dijaringkan oleh Daichi Kamada dan Junya Ito untuk melengkapkan kemenangan bergaya pasukan bimbingan Hajime Moriyasu itu.
“Saya benar-benar gembira. Apa yang saya usahakan sejak kekecewaan empat tahun lalu akhirnya membuahkan hasil.
“Gol-gol ini sangat bermakna kerana ia hadir di pentas Piala Dunia. Perasaan, kepuasan dan tanggungjawab yang saya rasakan sangat berbeza berbanding sebelum ini,” katanya.
Pada edisi Piala Dunia 2022, Ueda hanya beraksi selama 45 minit sebelum Jepun tersingkir di pusingan 16 terbaik selepas tewas kepada Croatia.
Bagaimanapun, penyerang berusia 27 tahun itu hadir ke kejohanan kali ini dengan reputasi besar selepas meledak 25 gol dalam 31 penampilan liga bersama Feyenoord musim lalu.
Prestasi cemerlang tersebut turut menyaksikannya dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Perdana Inggeris (EPL), termasuk dilaporkan menjadi perhatian Tottenham Hotspur.
Menurut Ueda, tahap keyakinannya ketika ini jauh berbeza berbanding empat tahun lalu.
“Kualiti permainan saya kini berbeza dan saya beraksi dengan penuh keyakinan,” katanya.
Jepun sebelum ini turut mencuri tumpuan apabila menewaskan England dalam aksi pemanas badan menjelang Piala Dunia selain bangkit dua kali untuk mengikat Belanda 2-2 pada perlawanan pembukaan kumpulan.
Mereka kini bersedia menghadapi Sweden di Dallas pada Khamis ini dalam usaha mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya.
Sementara itu, kapten Belanda, Virgil van Dijk mengakui Sweden bakal berdepan ujian getir apabila menentang Jepun.
“Jepun adalah pasukan yang sangat berdisiplin. Mereka bermain secara kompak dan teratur.
“Sweden akan berdepan tugas yang sangat sukar, itu pasti,” katanya. – AFP










