PETALING JAYA: Kemelut masa depan Pengarah Teknikal Berbasikal Kebangsaan, John Beasley sebenarnya membuka satu persoalan jauh lebih besar daripada sekadar sama ada beliau kekal atau meninggalkan berbasikal Malaysia selepas Januari tahun depan.
Selepas lebih 20 tahun membina antara program berbasikal paling berjaya dalam sejarah sukan negara, persoalan yang dibangkitkan Beasley bukan lagi mengenai dirinya tetapi mengenai siapa sebenarnya mempunyai kuasa menentukan hala tuju pembangunan sukan itu.
Jika sebelum ini tumpuan banyak terarah kepada dakwaan politik dalaman, birokrasi dan konflik membabitkan jurulatih negeri, kali ini Beasley secara terbuka mempersoalkan pihak mana yang mempunyai kuasa untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Hakikatnya, jawatan Pengarah Teknikal diwujudkan bagi menyelaraskan pembangunan berbasikal negara dari peringkat akar umbi sehingga skuad elit kebangsaan, namun pelaksanaannya ternyata tidak semudah yang dirancang.
Perbezaan keutamaan antara Majlis Sukan Negeri, persatuan negeri, jurulatih negeri dan program kebangsaan menyebabkan banyak keputusan pembangunan atlet akhirnya tersekat di tengah jalan.
Situasi itu dapat dilihat apabila beberapa negeri enggan melepaskan pelumba muda ke kejohanan antarabangsa penting kerana perlu memberi tumpuan kepada temasya seperti Sukan Malaysia (SUKMA) yang dianggap lebih dekat dengan sasaran negeri masing-masing.
Namun begitu, ketika Malaysia menikmati kejayaan demi kejayaan di pentas dunia hasil sistem yang dibentuk Beasley, individu yang bertanggungjawab menyusun sistem tersebut pula terpaksa mempersoalkan sama ada beliau benar-benar mempunyai kuasa untuk melaksanakannya.
“Jika badan induk kebangsaan tidak mempunyai kuasa untuk mengurus atau mengawal jurulatih Majlis Sukan Negeri, maka siapa yang mempunyai kuasa itu?”
“Jika masalah diwujudkan oleh jurulatih program negeri, siapa yang bertanggungjawab dan mempunyai kuasa untuk menyelesaikan masalah tersebut?,” kata Beasley.
Dua persoalan itu mungkin kedengaran mudah, namun jawapannya bakal menentukan sama ada berbasikal Malaysia mampu meneruskan legasi yang dibina sejak dua dekad lalu atau kembali terperangkap dalam konflik struktur yang selama ini cuba diselesaikan oleh Beasley.
Apa yang pasti, sebelum Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mencari pengganti kepada Beasley, mereka mungkin perlu mencari jawapan kepada persoalan yang sedang ditinggalkan oleh jurulatih Australia itu kerana masa depan berbasikal negara bergantung kepada siapa sebenarnya yang memegang kuasa.-UTUSAN










