Perancis elak sejarah 2002 berulang 

Perancis elak sejarah 2002 berulang 

Kylian Mbappe (kanan) berlatih bersama rakan sepasukan menjelang pertemuan Perancis menentang Senegal di Boston, esok. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW JERSEY: Perancis akan memulakan kempen Kumpulan I Piala Dunia 2026 dengan misi memburu tiga mata penuh ketika berdepan Senegal di Stadium MetLife, East Rutherford, awal pagi esok.

Bagaimanapun, skuad kendalian Didier Deschamps sedar mereka bakal berdepan lawan yang pernah mencipta antara kejutan terbesar dalam sejarah penganjuran Piala Dunia.

Peminat bola sepak pasti masih mengingati kejutan besar yang dilakukan Lions of Teranga pada Piala Dunia 2002 apabila mereka menewaskan Perancis 1-0 dalam perlawanan pembukaan kejohanan di Korea Selatan. 

Kemenangan bersejarah hasil jaringan Papa Bauba Diop ke atas Les Blues itu menjadi titik permulaan kepada kejatuhan juara bertahan tersebut yang akhirnya tersingkir di peringkat kumpulan.

Kini, Senegal sekali lagi berpeluang menguji kekuatan Les Bleus yang hadir ke Amerika Utara sebagai antara calon utama untuk menjulang trofi dunia buat kali ketiga selepas kejayaan pada 1998 dan 2018.

Pada edisi kali ini, pemain Perancis berazam memberikan aksi terbaik kepada Deschamps yang akan meninggalkan pasukan selepas tamat Piala Dunia 2026.

Bagaimanapun, Didier Deschamps mengingatkan pemain Perancis supaya tidak terlalu yakin menjelang cabaran memburu gelaran kedua Piala Dunia dalam tiga edisi terakhir.

Skuad kendalian Deschamps mara ke final dalam dua edisi lalu dengan muncul juara pada 2018 sebelum tewas menerusi penentuan penalti kepada Argentina empat tahun kemudian.

“Ia satu kejohanan besar. Ada pihak seolah-olah fikir kami sudah berada di final pada 19 Julai dan saya langsung tidak suka perkara itu.

“Ya, kami antara pasukan terbaik, tetapi saya tahu masih banyak halangan perlu ditempuhi sebelum memikirkan soal menjulang trofi. Kami akan lakukan segala-galanya untuk sampai ke tahap itu,” katanya.

Sementara itu, Senegal pula tiba di Amerika Syarikat dengan keyakinan tersendiri selepas menempah tiket ke Piala Dunia tanpa mengalami sebarang kekalahan sepanjang kempen kelayakan.

Skuad Lions of Teranga itu bakal membuat penampilan ketiga berturut-turut di pentas dunia selepas mara ke pusingan 16 terbaik pada edisi 2022 di Qatar.

Pasukan Afrika itu turut memiliki reputasi hebat apabila pernah menjulang trofi Piala Negara-Negara Afrika, sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai antara pasukan terbaik benua tersebut.

Di bawah kendalian Pape Thiaw, Senegal mencatat kemenangan ke atas Peru dan Gambia dalam aksi persahabatan sebelum kejohanan bermula.

Bagaimanapun, persiapan mereka sedikit terganggu apabila tewas 2-3 kepada Amerika Syarikat sebelum sekadar seri tanpa jaringan menentang Arab Saudi.

Menariknya, Thiaw sendiri merupakan anggota skuad Senegal yang menewaskan Perancis pada 2002, walaupun beliau tidak diturunkan dalam perlawanan bersejarah tersebut.- AGENSI/UTUSAN

FAKTA MENARIK

Senegal melakar kejutan apabila menewaskan Perancis 1-0 pada perlawanan pembukaan Piala Dunia 2002. Ketika itu Perancis tersingkir di peringat kumpulan dan gagal menjaringkan sebarang gol.

 

PERANCIS

4-2-3-1

Jurulatih:Didier Deschamps

Penjaga gol: Mike Maignan

Pertahanan: Jules Kounde, Ibrahima Konate, William Saliba, Theo Hernandez.

Tengah bertahan:  Aurelien Tchouameni, Rabiot

Tengah menyerang: Michael,Ousmane Dembele, Bradley Barcola

Penyerang:  Kylian Mbappe

 

PEMAIN TUMPUAN

Kylian Mbappe 

– Merupakan kapten dan penyerang utama, beliau juga penjaring terbanyak pasukan.

 

Michael Olise 

– Kreativiti menjadi igauan lawan dan berkemampuan mencipta umpanan terbaik.

 

Aurelien Tchouameni 

– Nadi kawalan permainan di bahagian tengah.

 

SENEGAL

4-3-3

Jurulatih: Pape Thiaw,

Penjaga gol:Edouard Mendy

Pertahanan: Krépin Diatta, Kalidou Koulibaly, Moussa Niakhate, Yehvann Diouf

Tengah: Lamine Camara, Idrissa Gana Gueye, Pape Matar Sarr

Serangan:Nicolas Jackson, Ismaila Sarr, Sadio Mane.

 

PEMAIN TUMPUAN

 Sadio Mane

-Sadio Mane kekal ikon utama Senegal walaupun sudah berusia 34 tahun. Penjaring terbanyak sepanjang zaman Senegal itu kembali ke Piala Dunia selepas terlepas edisi 2022 akibat kecederaan. 

 

Nicolas Jackson

-Jackson dijangka menjadi sandaran utama Senegal untuk menjaringkan gol, beliau mampu memberi masalah besar kepada mana-mana pertahanan lawan.

 

Kalidou Koulibaly

-Merupakan tonggak utama di benteng pertahanan. Pengalaman luas di peringkat antarabangsa dan kelab menjadikannya pemain yang amat penting terutama ketika berdepan pasukan elit seperti Perancis .

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN