PETALING JAYA: Pasukan Liga Malaysia (Liga M) perlu memperbaiki segala kelemahan jika mahu melihat liga tempatan terus kekal menarik serta berdaya saing pada masa depan.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Ab Karim berkata, terdapat tiga aspek utama yang perlu diberikan perhatian serius agar masalah sama tidak terus berulang.
Katanya, isu kebajikan pemain dan barisan kejurulatihan dalam kalangan pasukan Liga M masih menjadi kelemahan paling ketara dalam landskap bola sepak tempatan ketika ini.
“Saya lihat nombor satu adalah kebajikan pemain dan jurulatih. Perkara ini perlu diberi perhatian, malah saya percaya hanya JDT (Johor Darul Ta’zim) dan Selangor sahaja yang tiada masalah ini.
“Kebanyakan pasukan dalam Liga Super dan Liga A1 Semi Pro masih lagi kedengaran berdepan masalah serupa. Sebagai contoh, ada bekas pemain mendedahkan isu tunggakan gaji.
“Saya lihat tahap keseriusan pasukan untuk menjaga kebajikan pemain dan jurulatih masih kurang,” katanya.
Selain itu, Zulakbal turut menegaskan aspek fasiliti pasukan perlu dipertingkatkan sehingga mencapai standard bertaraf dunia bagi memastikan pembangunan bola sepak negara bergerak seiring dengan liga-liga maju di rantau ini.
“Fasiliti pasukan Liga M mesti bertaraf dunia dan ketika ini saya lihat hanya satu atau dua sahaja yang mendapat pengiktirafan daripada FIFA.
“Yang lain-lain itu masih berada pada tahap lama dan memerlukan penambahbaikan secara menyeluruh,” katanya.
Dalam pada itu, Zulakbal turut menyuarakan kebimbangan terhadap polisi pemain import yang dianggap berat sebelah sehingga menyukarkan pemain tempatan mendapatkan peluang beraksi secara konsisten.
“Polisi pemain import yang membenarkan setiap pasukan mendaftarkan sembilan pemain import dengan enam pemain berada dalam kesebelasan utama dan tiga lagi di bangku simpanan perlu diubah.
“Jumlah itu terlalu banyak. Macam mana pemain tempatan mahu bersaing jika dalam liga sendiri pun mereka sukar untuk mendapatkan tempat,” katanya.-UTUSAN










