TORONTO: Pemain tengah Ghana, Thomas Partey, yang sedang berdepan pertuduhan rogol di Britain, gagal dalam cabaran mahkamah bagi membolehkannya memasuki Kanada untuk aksi pembukaan Piala Dunia 2026.
Kerajaan Kanada sebelum ini menolak permohonan visa pemain Villarreal itu susulan pertuduhan yang sedang dihadapinya di Britain, sekali gus menghalangnya daripada beraksi menentang Panama dalam H Kumpulan G, esok.
Kerajaan Ghana telah memfailkan permohonan injunksi di Mahkamah Persekutuan Kanada bagi mengetepikan keputusan Ottawa tersebut, namun menurut laporan CBC, Hakim Roger Lafreniere menolak cabaran berkenaan.
Sebelum keputusan mahkamah diumumkan, jurulatih berpengalaman Ghana, Carlos Queiroz, menegaskan pasukannya sudah bersedia menghadapi apa jua keputusan.
“Tugas saya adalah menggunakan pemain yang ada di depan saya.Apabila keputusan diumumkan, kami sudah bersedia,” katanya kepada media di Toronto.
Jurulatih Panama, Thomas Christiansen, yang turut ditanya mengenai kemungkinan ketiadaan Partey berkata, Ghana masih memiliki ramai pemain berkualiti untuk mengisi kekosongan tersebut.
“Mereka mempunyai ramai pemain lain yang mampu memainkan peranan itu. Ghana tidak akan menjadi lebih lemah hanya kerana Partey tidak beraksi,” katanya.
Menurut Christiansen, skuad Black Stars memiliki pengalaman yang jauh lebih luas berbanding Panama.
“Mereka mempunyai lebih banyak pengalaman daripada kami,” katanya.
Menteri Luar Ghana, Samuel Okudzeto Ablakwa, sebelum ini menyifatkan keputusan Kanada sebagai “terlalu keras dan amat tidak adil”, memandangkan Partey merupakan tonggak penting skuad kebangsaan Ghana.
Beliau berkata, Ghana telah mengemukakan nota bantahan rasmi kepada kerajaan Kanada dan meminta keputusan itu dikaji semula.
Kementerian Luar Kanada pula memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa mengekalkan hubungan diplomatik dengan Ghana, termasuk dalam isu konsular dan migrasi apabila diperlukan.
Namun, kementerian itu enggan mengulas secara khusus mengenai perbincangan berkaitan kes Partey dan menegaskan keputusan kemasukan ke negara itu ditentukan oleh pihak imigresen Kanada.
Dalam satu kenyataan, pihak Imigresen, Pelarian dan Kewarganegaraan Kanada (IRCC) menegaskan bahawa penganjuran acara besar seperti Piala Dunia tidak mengubah undang-undang imigresen negara tersebut.
“Setiap individu yang ingin memasuki Kanada akan dinilai secara berasingan berdasarkan fakta yang ada dan undang-undang yang terpakai,” menurut kenyataan itu.
Partey kini berdepan tujuh pertuduhan rogol dan satu pertuduhan serangan seksual di Britain yang melibatkan empat wanita berbeza antara tahun 2020 hingga 2022.
Pemain berusia 33 tahun itu menafikan semua tuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Ketiadaan Partey dilihat sebagai tamparan besar buat Ghana menjelang pertemuan penting menentang Panama dalam usaha memburu tiket ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026.- AGENSI










