Neymar kembali berlatih bersama Brazil

Neymar kembali berlatih bersama Brazil

NEYMAR menjadi tumpuan media di Piala Dunia 2026.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW JERSEY: Penyerang Brazil, Neymar, kembali menjalani latihan buat kali pertama di kem Piala Dunia 2026, semalam.

perkembangan itu memberi petanda positif bahawa beliau semakin hampir untuk kembali beraksi selepas mengalami kecederaan betis kanan.

Pemain berusia 34 tahun itu mengalami kecederaan pada penghujung Mei lalu dan sejak ketibaan skuad Brazil di Amerika Syarikat, beliau hanya menjalani sesi rawatan serta pemulihan.

Namun, Neymar mengambil satu lagi langkah penting dalam proses pemulihannya apabila dilihat melakukan latihan larian di pusat latihan Brazil di New Jersey.

Walaupun sudah kembali ke padang latihan, penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil itu masih belum menyertai latihan penuh bersama pasukan.

Neymar terlepas aksi pembukaan Brazil yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 menentang Morocco pada Sabtu lalu.

Bekas bintang Barcelona dan Paris Saint-Germain itu memainkan peranan penting dalam tiga kempen Piala Dunia terakhir Brazil.

Bagaimanapun, penyertaannya ke Piala Dunia kali ini menimbulkan sedikit kejutan berikutan masalah kecederaan yang berpanjangan sehingga menyebabkan beliau tidak pernah beraksi untuk Brazil sejak 2023.

Sepanjang musim ini, Neymar hanya tampil dalam kira-kira separuh daripada jumlah perlawanan kelabnya dalam saingan liga, piala domestik dan Copa Sudamericana akibat isu kecergasan.

Brazil dijadualkan menentang Haiti di Philadelphia pada Jumaat ini sebelum menutup aksi Kumpulan C menentang Scotland di Miami pada 24 Jun.

Kepulangan Neymar pasti menjadi berita gembira buat skuad kendalian Brazil yang mengharapkan pengalaman dan sentuhan berbisa pemain veteran itu dalam usaha memburu gelaran juara dunia keenam.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN