LOS ANGELES: Jurulatih Kanada, Jesse Marsch, memuji pemain-pemainnya sebagai ‘wira Kanada’ selepas mereka mencipta sejarah mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia, sambil menyifatkan pertemuan seterusnya menentang Belanda atau Maghribi sebagai peluang tanpa tekanan.
Kanada selaku tuan rumah bersama memasuki kejohanan kali ini dengan rekod tewas dalam kesemua enam perlawanan dalam dua penampilan terdahulu di Piala Dunia. Namun, mereka kini menjadi pasukan pertama negara itu yang berjaya melangkah ke pusingan kalah mati kedua selepas menewaskan Afrika Selatan 1-0.
Marsch mengumpulkan kesemua pemainnya di atas padang sejurus selepas kemenangan dramatik itu dan memberitahu mereka bahawa mereka kini adalah ‘wira Kanada’, dalam ucapan penuh semangat yang kemudiannya tular di media sosial.
Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, pengendali dari Amerika Syarikat itu berkata, beliau mahu pemainnya memahami betapa pentingnya detik tersebut kepada perkembangan bola sepak di Kanada.
“Ada orang yang mengatakan tindakan berkumpul di atas padang itu sekadar persembahan, dan sejujurnya saya tidak peduli apa yang mereka katakan.
“Apa yang penting bagi saya ialah pasukan ini dan apa yang kami lakukan bersama,” kata Marsch.
Kanada menamatkan saingan kumpulan di tempat kedua selepas tewas kepada Switzerland, namun keputusan itu sudah memadai untuk membawa mereka ke pusingan kalah mati buat kali pertama dalam sejarah negara yang lebih terkenal dengan sukan hoki ais.
Bagaimanapun, kegagalan muncul juara kumpulan menyebabkan Kanada terpaksa meninggalkan Vancouver dan meneruskan kempen di Amerika Syarikat.
“Kami kecewa kerana perlu meninggalkan Kanada memandangkan sokongan dan semangat luar biasa terhadap Piala Dunia serta pasukan kami.
“Namun pemain segera kembali fokus dan menyedari bahawa ini adalah peluang yang sangat besar,” katanya.
Marsch menjelaskan pasukannya sudah biasa beraksi di Amerika Syarikat kerana negara itu sering menjadi tuan rumah kejohanan seperti Piala Emas CONCACAF, Copa America serta beberapa aksi persahabatan Kanada.
Sebahagian besar tempat duduk di Stadium SoFi, Los Angeles dipenuhi penyokong berbaju merah, manakala destinasi seterusnya Kanada ialah Houston bagi aksi pusingan 16 terbaik.
Lawan Kanada akan ditentukan menerusi pertemuan antara Maghribi, yang mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022 di Qatar, dan Belanda yang pernah tiga kali menjadi naib juara dunia.
Marsch, yang mengarahkan pasukannya bermain secara menyerang ketika menentang Afrika Selatan, mengakui beliau perlu menyesuaikan taktikal memandangkan kualiti lawan selepas ini jauh lebih tinggi.
Namun beliau teruja untuk menentang “gergasi bola sepak dunia”, sambil menyifatkan Maghribi sebagai “gergasi moden” berdasarkan kejayaan mutakhir mereka dan Belanda sebagai “gergasi tradisional”.
“Saya rasa ini adalah peluang tanpa tekanan. Kami akan berjuang habis-habisan dan melakukan segala yang termampu untuk mencari kemenangan,” katanya.
Kanada turut menerima suntikan positif dengan kembalinya bintang utama mereka, Alphonso Davies, yang membuat penampilan pertamanya pada Piala Dunia kali ini sebagai pemain gantian ketika menentang Afrika Selatan.
Pemain sayap Bayern Munich itu sebelum ini mengalami kecederaan hamstring, namun kehadirannya segera memberikan impak kepada permainan Kanada. –AGENSI










