SERDANG: Penembak negara, Haritz Iklil Hessly Hafiz dan atlet lontar peluru, Nani Sahirah Maryata dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Majlis Anugerah Sukan UPM Ke-39, semalam.
Pemilihan kedua-dua atlet itu dibuat oleh tujuh panel pemilih yang dilantik berdasarkan pencapaian cemerlang dalam sukan masing-masing, sekali gus mengharumkan nama universiti dan negara di peringkat antarabangsa.
Untuk rekod, Haritz Iklil merupakan pelajar dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, beliau adalah pemenang pingat emas acara 50 meter (m) rifle tiga posisi pada Sukan SEA 2025 dan turut memecahkan rekod temasya.
Nani Sahirah yang merupakan pelajar Bacelor Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi turut meraih pingat emas di Sukan SEA 2025, lebih manis beliau berjaya memecahkan rekod kebangsaan di temasya dwitahunan itu.
Dalam majlis yang berlangsung di Dewan Kolej Pendeta Za’ba UPM itu, kedua-dua atlet terbabit membawa pulang piala pusingan, piala iringan, sebentuk jam tangan, baucar barangan sukan dan wang tunai bernilai RM2,500.
Majlis berkenaan telah disempurnakan Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadulah dan turut dihadiri Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Dr. Hanafiah Ayub.
Secara keseluruhan, 130 orang atlet dari pelbagai jenis sukan telah dipilih sebagai Penerima Anugerah termasuk 2 Bintang Harapan serta Penghargaan Khas kepada 9 orang atlet yang bertaraf antarabangsa dan cemerlang di pentas dunia.
Selain itu, seramai 50 orang atlet berjaya mendapat Anugerah Emas manakala seramai 43 orang atlet mendapat Anugerah Perak dan 19 orang atlet dipilih menerima Penghargaan Setia Bakti.
Dengan pencapaian yang cemerlang, pasukan sepak takraw UPM telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pasukan Terbaik Lelaki, manakala skuad hoki wanita UPM merangkul Anugerah Pasukan Wanita Terbaik pada edisi kali ini.
Majlis berkenaan turut meyampaikan Penghargaan Khas Akademi Sukan kepada dua insan yang telah berbakti untuk pembangunan sukan UPM iaitu Mantan Timbalan Pengarah Bahagian Perundingan, Jaringan Komuniti & Pembangunan, Akademi Sukan Dr. Samir Muhazzab Amin, bekas jurulatih futsal UPM, Zainal Abidin Yusof.-UTUSAN










