Haaland ledak dua gol, Norway benam Iraq 4-1

Haaland ledak dua gol, Norway benam Iraq 4-1

ERLING Haaland dikawal ketat pemain Iraq dalam aksi Kumpulan I, Piala Dunia 2026.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOSTON: Penyerang prolifik Norway, Erling Haaland menjaringkan dua gol di pentas pertama Piala Dunia ketika membantu Norway menewaskan Iraq 4-1 dalam aksi Kumpulan I, sebentar tadi.

Kemenangan itu turut menandakan kemunculan semula Norway di kejohanan utama antarabangsa selepas 26 tahun menanti sejak kali terakhir beraksi di Euro 2000.

Bintang Manchester City itu membuka jaringan pada minit ke-29 sebelum penyerang Iraq, Aymen Hussein menyamakan kedudukan menerusi tandukan kemas.

Namun, Haaland kembali meletakkan Norway di hadapan sebelum tamat separuh masa pertama selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan Iraq.

Jaringan tersebut menyaksikan jumlah gol antarabangsanya meningkat kepada 57 gol hanya dalam 51 penampilan bersama Norway.

Pemain pertahanan, Leo Ostigard kemudian menambah gol ketiga sejurus selepas dimasukkan sebagai pemain gantian, sebelum gol sendiri Hussein pada masa kecederaan melengkapkan kemenangan bergaya Norway.

Keputusan itu meletakkan Norway di tangga teratas Kumpulan I menerusi kelebihan jaringan, berkongsi tiga mata dengan Perancis yang menewaskan Senegal 3-1 beberapa jam lebih awal.

Norway akan berdepan Perancis dalam perlawanan kedua di New Jersey pada 22 Jun ini dalam aksi yang dijangka menentukan kedudukan teratas kumpulan.

Bagi Iraq, perjalanan mereka ke Piala Dunia 2026 merupakan antara yang paling panjang dan mencabar apabila layak sebagai pasukan ke-48 dan terakhir pada Mac lalu selepas mengharungi kempen kelayakan selama 867 hari dan 21 perlawanan.

Aymen Hussein, yang menjaringkan gol kemenangan dalam aksi playoff menentang Bolivia untuk membawa Iraq ke Piala Dunia, turut menjadi perhatian apabila dilaporkan ditahan dan disoal siasat selama beberapa jam oleh pegawai imigresen Amerika Syarikat sebaik tiba bersama pasukan.

Norway pula kali terakhir beraksi di Piala Dunia pada 1998. Jurulatih mereka, Stale Solbakken, merupakan anggota skuad yang menewaskan Brazil pada peringkat kumpulan ketika itu sebelum tersingkir di pusingan 16 terbaik.

Kini, Solbakken berharap generasi emas Norway yang diterajui Haaland dan kapten, Martin Odegaard mampu mencipta sejarah baharu di Amerika Utara.

Sebelum kejohanan bermula, Solbakken meramalkan Haaland akan memberi impak besar dalam penampilan sulungnya di kejohanan utama, dan penyerang itu segera membuktikan ramalan tersebut tepat.

Norway memperoleh gol pertama hasil gerakan cemerlang Antonio Nusa yang melepaskan David Moller Wolfe di sebelah kiri sebelum Haaland menyudahkan hantaran lintang rendah dari jarak dekat.

Iraq bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan 10 minit kemudian apabila Amir Al-Ammari melakukan hantaran silang yang disempurnakan Hussein menerusi tandukan bertenaga menewaskan penjaga gol Orjan Nyland.

Namun, kesilapan penjaga gol Iraq, Jalal Hassan, menjadi titik perubahan apabila percubaan beliau mengeluarkan bola terkena kaki Haaland sebelum melantun masuk ke dalam gawang.

Iraq tetap memberikan tentangan sengit dengan beberapa peluang menerusi Ibrahim Bayesh, Ali Al-Hamadi dan Akam Hashim, namun gagal menghasilkan gol.

Ostigard kemudian menanduk masuk sepakan penjuru Odegaard pada minit ke-76 untuk mengesahkan kemenangan Norway.

Haaland hampir melengkapkan hatrik pada penghujung permainan tetapi percubaannya berjaya diselamatkan Hassan.

Bagaimanapun, beliau tetap memainkan peranan dalam gol keempat Norway apabila tandukannya terkena Hussein sebelum bergolek masuk ke gawang sendiri.

Kemenangan meyakinkan itu mengukuhkan status Norway sebagai pencabar utama dalam Kumpulan I, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka menjelang pertembungan getir menentang Perancis.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN