MONACO: Pelumba Mercedes, George Russell mengakui Ferrari muncul sebagai pasukan yang perlu ditewaskan menjelang sesi kelayakan Grand Prix (GP) Monaco selepas mempamerkan prestasi cemerlang dalam kedua-dua sesi latihan bebas semalam.
Ferrari mendominasi saingan apabila kedua-dua jentera mereka mengungguli sesi latihan bebas pertama (FP1) dan kedua (FP2), sekali gus mengukuhkan status sebagai pencabar utama untuk merebut petak hadapan di litar jalan raya yang terkenal mencabar itu.
Mercedes pula sekadar menamatkan sesi di kedudukan keempat dan kelima dengan pelumba muda mereka, Kimi Antonelli berada di depan Russell pada FP1 sebelum Russell mengatasi rakan sepasukannya itu pada FP2.
Menurut Russell, Ferrari sememangnya dijangka tampil kuat di Monaco berdasarkan kelebihan yang dimiliki pasukan Itali itu di litar jalan raya sejak sekian lama.
“Kami menjangkakan Ferrari akan menjadi pasukan yang perlu ditewaskan. Ramai menganggap ia sekadar andaian, tetapi prestasi yang ditunjukkan hari ini membuktikan mereka benar-benar berada di hadapan.
“Monaco memang dijangka menjadi perlumbaan paling mencabar buat kami musim ini dan setakat ini ia lebih sukar daripada yang kami harapkan,” katanya.
Bagaimanapun, Russell percaya Mercedes masih mempunyai ruang untuk memperbaiki prestasi selepas berjaya melakukan beberapa perubahan positif antara FP1 dan FP2.
Dalam masa sama, Russell menjelaskan kelebihan Ferrari di Monaco bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana ciri-ciri mekanikal jentera pasukan itu sememangnya sesuai dengan litar jalan raya.
“Setiap kereta mempunyai DNA tersendiri dan Ferrari jelas memiliki kelebihan dari aspek mekanikal yang sangat berkesan di litar seperti Monaco.
“Kami sedang berusaha keras untuk merapatkan jurang tersebut dan saya percaya kami mampu meningkatkan prestasi, namun sama ada kami boleh mengatasi mereka atau tidak, itu masih menjadi persoalan,” katanya.
Sementara itu, Antonelli mengakui dia masih belum menemui keserasian terbaik dengan jentera Mercedes selepas bergelut terutama di sektor tengah litar.
“Ia bukan hari yang mudah buat kami. Saya kurang selesa dengan keseimbangan kereta dan itu menjejaskan kelajuan kami.
“Kami telah mencuba pelbagai pilihan tetapan dan mengumpulkan banyak data penting untuk dianalisis sebelum sesi latihan seterusnya dan kelayakan,” katanya.
Pelumba Itali itu turut mengakui Ferrari kini berada dalam kedudukan terbaik untuk memburu petak utama, namun yakin Mercedes masih berpeluang memperbaiki prestasi sekiranya berjaya menemukan tetapan yang lebih sesuai.
“Kami tahu Ferrari sentiasa kuat di Monaco dan mereka kelihatan sebagai pilihan utama ketika ini.
“Namun, kami masih belum mencapai tetapan terbaik untuk kereta dan saya berharap kami mampu melakukan peningkatan serta bersaing dengan kelompok hadapan esok,” katanya. – AGENSI










