FAM tidak boleh ada ‘dua kepala’ - Zulakbal

FAM tidak boleh ada ‘dua kepala’ – Zulakbal

Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan pemansuhan jawatan Presiden Kehormat dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilihat relevan bagi mengelakkan dua pemimpin dalam satu organisasi sekaligus mengelakkan kekeliruan.

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd. Karim menyokong cadangan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) supaya jawatan Presiden Kehormat di FAM dimansuhkan bagi mengelakkan pertindihan kuasa dalam organisasi itu.

Menurut beliau, kewujudan jawatan tersebut berpotensi mewujudkan situasi ‘dua nakhoda dalam satu kapal’, sekali gus boleh menjejaskan kelancaran proses pentadbiran dan membuat keputusan.

Katanya, AFC sebagai badan induk bola sepak Asia sudah pasti mempunyai alasan kukuh dalam mengemukakan cadangan berkenaan demi memastikan pembangunan bola sepak negara bergerak seiring dengan amalan tadbir urus moden.

“Saya percaya apa yang AFC cadangkan adalah pandangan daripada pihak yang berkepentingan untuk melihat bola sepak terus maju.

“Pada saya, jawatan Presiden Kehormat itu perlu ditiadakan untuk mengelakkan sebuah kapal mempunyai dua nakhoda. Apa yang AFC katakan itu memang betul,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas cadangan AFC untuk mengurangkan bilangan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM daripada 17 kepada 11 orang, Zulakbal turut menyatakan sokongannya.

Beliau menyifatkan langkah tersebut sebagai sebahagian daripada usaha memperkemaskan struktur pentadbiran FAM selaras dengan keperluan bola sepak moden.

“Pada saya, apa yang dicadangkan AFC itu adalah tepat. Ia sangat penting untuk memenuhi kehendak bola sepak moden yang kini dilihat dituntut dalam mana-mana negara sekalipun,” ujarnya.

Sebelum ini, AFC dilaporkan mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan terhadap struktur pentadbiran FAM, termasuk pemansuhan jawatan Presiden Kehormat serta pengurangan jumlah Exco sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan tadbir urus badan induk bola sepak negara ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN