England enggan jadikan cuaca panas alasan di Piala Dunia

England enggan jadikan cuaca panas alasan di Piala Dunia

Thomas Tuchel
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FLORIDA: Pengendali England, Thomas Tuchel menegaskan skuad kendaliannya tidak akan menjadikan cuaca panas melampau dan jarak perjalanan yang jauh sebagai alasan ketika mengharungi kempen Piala Dunia 2026.

Menurut Tuchel, cabaran cuaca panas dan kelembapan tinggi yang dijangka dihadapi sepanjang kejohanan perlu diterima sebagai sebahagian daripada ujian untuk bergelar juara dunia.

“Kami tidak mahu menjadikannya sebagai alasan. Sudah tentu ia akan menjadi sukar, namun kami berharap dapat mengharungi kempen Piala Dunia yang panjang.

“Akan ada banyak perjalanan dan pelbagai cabaran akibat cuaca panas serta kelembapan tinggi,” katanya dalam sidang media, semalam.

England kini sedang menjalani persiapan di Florida menjelang perlawanan persahabatan menentang New Zealand di Tampa Bay, sebelum bertemu Costa Rica di Orlando pada Rabu depan.

Selepas itu, skuad The Three Lions akan berpindah ke kem latihan mereka di Kansas City yang turut dijangka berdepan suhu melebihi 30 darjah Celsius serta ribut petir.

England bakal memulakan kempen Kumpulan L menentang Croatia di Dallas pada 17 Jun, dengan suhu dijangka mencecah 35 darjah Celsius.

Sekiranya mara ke pusingan kalah mati, England mungkin perlu beraksi di Mexico City yang terkenal dengan faktor altitud tinggi, selain berkemungkinan beraksi di Miami pada peringkat suku akhir.

Tuchel berkata, pasukannya perlu kekal tenang dan mampu menyesuaikan diri dengan apa juga keadaan sepanjang kejohanan.

“Itulah yang diperlukan untuk terus mara dalam sesebuah kejohanan besar,” katanya.

Walaupun berdepan cuaca panas, bekas pengendali Chelsea dan Bayern Munich itu menegaskan beliau tidak akan mengubah pendekatan taktikal yang menekankan tekanan tinggi terhadap lawan.

“Ada nilai dalam usaha merampas semula bola di kawasan lawan walaupun ia memerlukan intensiti tinggi dan mempunyai risikonya tersendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Tuchel turut gembira dengan kehadiran ramai pemain yang mempunyai pengalaman menjulang trofi musim ini, sekali gus memberikan keyakinan tambahan kepada pasukan.

“Kami mempunyai ramai pemain yang pernah menjadi juara. Pengalaman itu membantu meningkatkan keyakinan secara semula jadi.

“Mereka tahu bagaimana untuk mengendalikan tekanan dan sudah membuktikan kemampuan beraksi dalam perlawanan besar,” katanya.

England yang muncul naib juara dua edisi Kejohanan Eropah (Euro) berturut-turut diundi dalam Kumpulan L bersama Ghana, Panama dan Croatia.

Sementara itu, pertahanan England, Ezri Konsa mengakui kebanyakan pemain pasukan itu masih belum biasa beraksi dalam cuaca sepanas yang bakal dihadapi di Amerika Utara.

“Namun kami perlu menyesuaikan diri dengan cepat,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN