Bellingham kembali berbisa, Croatia lambat 'panas'

Bellingham kembali berbisa, Croatia lambat ‘panas’

BINTANG England, Jude Bellingham meraikan jaringan bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pertama The Three Lions ketika menentang Panama dalam aksi terakhir Kumpulan L, Piala Dunia 2026 di Stadium New York New Jersey, semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW JERSEY: Pengendali England, Thomas Tuchel menyifatkan Jude Bellingham kini berada pada tahap terbaik selepas membantu Three Lions menewaskan Panama 2-0 sekali gus muncul juara Kumpulan L dan mara ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026, semalam.

Bellingham yang menjaringkan gol pembukaan sebelum mencipta bantuan jaringan buat Harry Kane membuktikan dia sudah kembali berada di landasan sebenar selepas sebelum ini dibelenggu kecederaan bahu dan hamstring.

“Dia kini berada pada tahap terbaik selepas pulih daripada kecederaan, gembira dapat kembali bermain dan beraksi dengan penuh kebebasan sambil mempamerkan intensiti yang kami mahukan.

“Sebab itu kami sentiasa menguruskan minit permainannya sekitar 60 hingga 70 minit kerana beberapa bulan lalu dia tidak mampu mengekalkan tahap intensiti itu bersama kelab mahupun negara,” kata Tuchel.

Tuchel turut menegaskan Bellingham merupakan tonggak utama England dan akan terus diberi sokongan untuk kembali mencapai prestasi kemuncaknya walaupun Morgan Rogers terus diberi peluang mencabar tempat dalam kesebelasan utama.

“Dia pemain utama kami dan tugas kami ialah membantu serta menyokongnya menjadi versi terbaik dirinya. Kami juga akan terus mencabar Rogers untuk merebut tempat dalam kesebelasan,” ujarnya.

Dalam masa sama, Tuchel memuji Harry Kane yang mencipta sejarah sebagai penjaring terbanyak England di Piala Dunia dengan 11 gol selepas melepasi rekod Gary Lineker.

“Semua orang gembira untuk Harry kerana dia rakan sepasukan yang hebat, disayangi dan dihormati semua pemain,” katanya.

England akan meneruskan cabaran di pusingan 32 terbaik menentang Republik Demokratik Congo yang mencipta sejarah mara buat kali pertama selepas bangkit menewaskan Uzbekistan 3-1 hasil dua jaringan Yoane Wissa semalam, sekali gus menjanjikan ujian berbeza buat skuad kendalian Tuchel.

Sementara itu, Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic menegaskan pasukannya sudah kembali ke tahap sebenar selepas mencatat kemenangan penting 2-1 ke atas Ghana untuk menamatkan saingan Kumpulan L di tempat kedua.

Croatia yang muncul naib juara pada 2018 dan mara ke separuh akhir edisi 2022 sebelum ini dikritik selepas tewas 2-4 kepada England serta menang tipis 1-0 ke atas Panama, namun kemenangan ke atas Ghana mengembalikan keyakinan pasukan berkenaan.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pemain kerana mara ke peringkat kalah mati. Ia adalah perlawanan yang sukar, tetapi saya rasa Croatia bermain dengan sangat baik dari segi taktikal dan berada dalam posisi yang baik.

“Saya rasa kami kembali ke tahap seperti sembilan tahun lalu. Tetapi itu masih merupakan langkah kecil untuk mencapai objektif pertama, iaitu mara ke peringkat kalah mati,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN