PETALING JAYA: Pengarah Teknikal Berbasikal Negara, John Beasley mengambil keputusan mengorbankan penyertaan Malaysia dalam acara pecut berpasukan dan ujian masa 1 kilometer (km) di Sukan Komanwel Glasgow demi memaksimumkan peluang memburu pingat dalam acara individu.
Keputusan itu menyaksikan skuad trek negara hanya akan memberi tumpuan kepada acara pecut individu dan keirin yang diketuai dua pelumba berpengalaman, Datuk Azizulhasni Awang serta Muhammad Shah Firdaus Sahrom.
Beasley berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira kekuatan semasa pasukan selain situasi kecederaan yang menjejaskan persiapan beberapa pelumba utama negara.
“Sukan Komanwel adalah pertandingan bertaraf dunia dengan Australia, England dan New Zealand berada dalam saingan. Jadi, tidak ada peluang untuk pelumba kita memenangi pingat dalam acara pecut berpasukan berdasarkan kekuatan semasa yang kita ada,” kata Beasley.
Menurutnya, faktor perjalanan yang panjang ke Glasgow turut memainkan peranan dalam perancangan pasukan bagi memastikan Azizulhasni dan Shah Firdaus berada pada tahap terbaik menjelang acara utama mereka.
“Kita mahu Azizulhasni dan Shah Firdaus berada pada tahap terbaik dan cukup rehat untuk acara individu. Kita juga tidak mahu (Muhammad) Ridwan (Sahrom) tergesa-gesa dalam proses pemulihan kecederaannya,” katanya.
Ridwan masih menjalani proses pemulihan selepas mengalami kecederaan bahu ketika beraksi pada Piala Negara-Negara Trek di Hong Kong, April lalu manakala Muhammad Fadhil Zonis pula berdepan masalah prestasi.
Ketiadaan Fadhil turut menyebabkan Malaysia tidak akan menghantar wakil dalam acara ujian masa 1km lelaki yang sebelum ini pernah menghadiahkan kejayaan di pentas antarabangsa.
Beasley menjelaskan fokus utama kini adalah memastikan Ridwan kembali cergas sepenuhnya bagi menghadapi cabaran lebih realistik di Sukan Asia Aichi-Nagoya yang menawarkan peluang lebih cerah untuk menaiki podium dalam acara pecut berpasukan.
Selain Azizulhasni dan Shah Firdaus, cabaran negara di Glasgow turut digalas Nurul Izzah Izzati Mohd Asri serta Nur Alyssa Mohd Farid dalam acara pecut individu dan keirin wanita, manakala Lau New Joe akan beraksi dalam perlumbaan mata serta penyingkiran.-UTUSAN










