Beasley beri bayangan tukar peranan

Beasley beri bayangan tukar peranan

John Beasley
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah Teknikal Berbasikal Kebangsaan, John Beasley memberi bayangan akan terus memainkan peranan dalam pembangunan berbasikal negara selepas kontraknya berakhir pada 31 Januari 2027 biarpun tidak lagi memegang jawatan tersebut.

Perkara itu didedahkan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill selepas mengadakan perbincangan secara terbuka dengan jurulatih kelahiran Australia berkenaan susulan kemelut yang melanda program berbasikal kebangsaan.

Amarjit berkata, Beasley telah memaklumkan hasratnya menamatkan kontrak sebagai pengarah teknikal, namun masih bersedia membantu skuad negara terutama jika jaguh berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang meneruskan cabaran ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

“Beliau akan menghabiskan kontraknya dan tidak timbul soal beliau meletak jawatan sekarang kerana perkara itu tidak benar.

“Saya percaya walaupun beliau tidak lagi menjadi pengarah teknikal selepas ini, John masih akan mempunyai peranan untuk dimainkan dari sudut kejurulatihan dan pembangunan atlet berprestasi tinggi negara,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini, semalam.

Menurut Amarjit, perbincangan terbaru antara kedua-dua pihak turut memberi isyarat bahawa hubungan Beasley dengan Malaysia masih kukuh walaupun jurulatih berusia 65 tahun itu sebelum ini meluahkan kekecewaan terhadap beberapa isu dalaman.

“John terlalu sayangkan Malaysia untuk pergi begitu sahaja dan apabila saya bertanya sekiranya Azizulhasni mahu meneruskan cabaran ke LA 2028, beliau menjawab sudah tentu akan memainkan peranan.

“Itu memberi gambaran bahawa beliau masih mahu membantu pasukan negara dalam satu bentuk atau peranan yang lain walaupun bukan lagi sebagai pengarah teknikal,” katanya.

Dalam masa sama, Amarjit mengakui PKBM perlu mula memikirkan calon baharu bagi mengisi jawatan pengarah teknikal kerana skop tugas tersebut semakin luas dan memerlukan penyelarasan dengan pelbagai pihak dalam ekosistem berbasikal negara.

Beliau bagaimanapun menegaskan keutamaan ketika ini adalah memastikan persiapan atlet ke Sukan Komanwel 2026, Sukan Asia 2026 dan kempen kelayakan Olimpik LA 2028 tidak terganggu oleh sebarang spekulasi berkaitan masa depan Beasley.

Malah, PKBM turut memberi jaminan Beasley akan terus memimpin program kebangsaan sehingga tamat kontraknya sambil membantu memastikan peralihan kepemimpinan dapat dilakukan secara teratur demi kesinambungan kejayaan berbasikal Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN