Argentina buru permulaan sempurna 

Argentina buru permulaan sempurna 

Lionel Messi berlatih bersama rakan sepasukan menjelang pertemuan Argentina menentang Algeria di Kansas City, esok. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANSAS CITY: Argentina memulakan misi mempertahankan gelaran Piala Dunia apabila berdepan Algeria dalam aksi pembukaan Kumpulan J, esok.

Tumpuan pastinya terarah kepada kapten pasukan, Lionel Messi, yang bakal mencipta rekod baharu dengan tampil dalam Piala Dunia keenam sepanjang kariernya.

Pemain berusia 38 tahun itu masih menjadi tonggak utama skuad kendalian Lionel Scaloni yang masih mengekalkan sebahagian besar pemain yang membantu Argentina menjuarai Piala Dunia 2022 di Qatar.

“Saya gembira, menikmati setiap detik dan masih teruja seperti dahulu. Sudah tentu saya mahu mengakhiri karier dengan cara ini. Saya tidak boleh meminta lebih daripada ini,” kata Messi.

Argentina hadir ke kejohanan kali ini sebagai pasukan No.1 dunia, namun berdepan satu statistik yang kurang memihak apabila tiada pasukan yang menduduki ranking teratas FIFA berjaya muncul juara dunia.

Scaloni berdepan sedikit kebimbangan apabila bek kiri, Nicolas Tagliafico, masih dibelenggu kecederaan otot yang dialami ketika aksi pemanas badan menentang Honduras awal bulan ini.

Penjaga gol utama, Emiliano Martinez, pula dijangka cergas sepenuhnya selepas pulih daripada kecederaan jari yang dialaminya menjelang final Liga Europa bersama Aston Villa.

Sekiranya Tagliafico kembali cergas, kesebelasan utama Argentina dijangka dibarisi 11 pemain yang turut berada dalam skuad juara dunia 2022, sekali gus memberikan pengalaman berharga dalam usaha menjadi pasukan pertama sejak Brazil pada 1962 mempertahankan gelaran Piala Dunia.

Namun, Argentina pasti tidak mahu mengulangi episod memalukan empat tahun lalu apabila tewas mengejut kepada Arab Saudi dalam aksi pembukaan kejohanan.

Algeria pula hadir dengan keyakinan tinggi selepas melalui empat perlawanan tanpa kalah, termasuk mengikat Uruguay dan menewaskan Belanda 1-0 dalam aksi persahabatan.

Pasukan bimbingan Vladimir Petkovic itu turut memiliki pemain muda berbakat, Ibrahim Maza, yang digelar ‘Mazadona’ oleh penyokong Bayer Leverkusen kerana gaya permainannya yang menyerupai legenda Argentina, Diego Maradona.

Malah, pemain tengah berusia 20 tahun itu secara terbuka menyatakan keyakinan Algeria mampu menewaskan Argentina dan Messi.

Selain Maza, Algeria turut mempertaruhkan ketajaman penyerang Anis Hadj Moussa dan Amine Gouiri yang menjaringkan empat gol dalam dua perlawanan terakhir pasukan itu.

Bagaimanapun, Argentina memiliki rekod semasa yang cukup mengagumkan apabila tidak tewas sejak September tahun lalu dan kini membawa tujuh kemenangan berturut-turut ke Piala Dunia.

“Lawan akan berdepan tugas sukar apabila menentang Argentina kerana kami mempunyai pasukan yang sangat kuat dan bersatu,” kata Messi.- AGENSI/UTUSAN

FAKTA MENARIK

Perlawanan ini bakal menjadi penampilan antarabangsa ke-200 Lionel Messi bersama Argentina, satu pencapaian yang hanya dicapai segelintir pemain dalam sejarah bola sepak dunia.

 

ARGENTINA

4-3-3

Jurulatih: Lionel Scaloni

Penjaga Gol: Emiliano Martínez

Pertahanan:Nahuel Molina, Cristian Romero, Nicolás Otamendi, Nicolás Tagliafico

Tengah: Rodrigo De Paul, Enzo Fernández, Alexis Mac Allister

Serangan: Lionel Messi, Julián Álvarez, Thiago Almada

 

PEMAIN TUMPUAN

Lionel Messi

-Pemenang Ballon d’Or lapan kali dan juara Piala Dunia 2022. Kreativiti, visi permainan dan kebolehan menghasilkan momen ajaib masih menjadi senjata utama Argentina.

 

Julián Álvarez

-Terkenal dengan tekanan tinggi, pergerakan tanpa bola dan penyudah tajam. Dijangka menjadi sumber jaringan utama Argentina di kejohanan ini.

 

Enzo Fernández 

-Pemain Muda Terbaik Piala Dunia 2022, nadi permainan Argentina yang menghubungkan pertahanan dan serangan.

 

ALGERIA

4-3-3

Jurulatih:Vladimir Petkovic 

Penjaga Gol: Luca Zidane

Pertahanan: Rafik Belghali, Aïssa Mandi, Ramy Bensebaini, Rayan Aït-Nouri

Tengah: Hicham Boudaoui, Nabil Bentaleb, Ibrahim Maza

Serangan: Riyad Mahrez, Mohamed Amoura, Amine Gouiri

 

PEMAIN TUMPUAN

 Riyad Mahrez

-Kapten dan pemain paling berpengalaman Algeria. Pernah membantu Algeria menjuarai Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2019.

 

Mohamed Amoura

-Bahaya menerusi serangan balas dan larian di belakang benteng lawan. Dijangka menjadi senjata utama Algeria untuk menghukum pertahanan Argentina.

 

Ibrahim Maza

-Merupakan antara bintang muda paling menarik dalam skuad Algeria ke Piala Dunia 2026, memiliki kawalan bola yang baik.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN