PARIS: Juara baharu Terbuka Perancis, Mirra Andreeva mengakui kejayaan merangkul gelaran Grand Slam pertama dalam kariernya jauh lebih manis daripada apa yang pernah dibayangkannya sebelum ini.
Pemain remaja Rusia berusia 19 tahun itu mencipta sejarah apabila muncul juara wanita termuda di Roland Garros dalam tempoh 34 tahun selepas menewaskan pemain kelayakan dari Poland, Maja Chwalinska 6-3, 6-2 pada aksi final, Sabtu lalu.
Kejayaan tersebut menyaksikan Andreeva bakal melonjak ke tangga keenam dunia dalam ranking Persatuan Tenis Wanita (WTA) yang dikemas kini hari ini.
Bagaimanapun, pemain pilihan kelapan itu tidak mahu terlalu lama dibuai kejayaan dan sudah mula memberi tumpuan kepada musim gelanggang rumput serta cabaran di Wimbledon.
“Perasaan ini sangat istimewa. Sejujurnya, saya sudah mula memikirkan bagaimana untuk membuat persediaan bagi musim gelanggang rumput dan kejohanan-kejohanan selepas ini.
“Saya rasa pengalaman ini seperti satu ketagihan dan saya mahu bekerja lebih keras untuk merasai detik yang sama sekali lagi,” katanya.
Andreeva turut menjadi pemain pertama yang lahir selepas tahun 2005, sama ada dalam kategori lelaki atau wanita, yang berjaya menjulang trofi Grand Slam.
Perkembangan kariernya di Roland Garros juga cukup mengagumkan apabila mara ke pusingan ketiga pada penampilan sulungnya pada 2023 ketika berusia 16 tahun, sebelum melangkah ke separuh akhir pada 2024 dan suku akhir tahun lalu.
Menurut Andreeva, dia sering membayangkan saat memenangi gelaran Grand Slam pertamanya, namun realiti yang dilalui jauh lebih menggembirakan berbanding apa yang pernah diimpikan.
“Saya sering berfikir bagaimana, bila dan di mana saya akan memenangi gelaran Grand Slam pertama.
“Namun perasaan sebenar apabila memegang trofi ini jauh lebih hebat daripada apa yang saya bayangkan. Ia satu pengalaman yang sukar digambarkan dengan kata-kata,” katanya.
Dalam pada itu, Andreeva turut mendedahkan peranan penting ahli psikologinya yang banyak membantu dari aspek persediaan mental menjelang aksi separuh akhir dan final.
Katanya, beberapa teknik dan nasihat yang diberikan berjaya membantunya mengawal tekanan serta kekal fokus ketika berdepan dua perlawanan paling penting dalam kariernya setakat ini.
Kejayaan tersebut juga menamatkan penantian panjang Rusia untuk melihat wakil wanita mereka menjuarai Grand Slam selepas Maria Sharapova memenangi gelaran kelimanya di Terbuka Perancis pada 2014.
Andreeva mengakui dia berharap Sharapova yang berada di Paris ketika kejohanan berlangsung sempat menyaksikan aksinya di final.
“Saya tahu dia berada di sini dan saya berharap dia menonton perlawanan akhir itu. Jika benar dia menonton, saya mahu mempamerkan permainan terbaik saya,” katanya. – AFP










