Zufar mahu harumkan nama Perlis

Zufar mahu harumkan nama Perlis

ZUFAr Afkar (belakang dua dari kiri) ketika mewakili Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Perlis (MSSPs) ke Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) pada Mei tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GIMNAS muda, Zufar Afkar Zaharul Amin atau lebih dikenali sebagai Zufar menjadi antara prospek yang mampu menghadiahkan pingat buat Perlis dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) akan datang susulan pencapaian memberangsangkan ditonjolkan sebelum ini.

Anak muda berusia 18 tahun dari Taman Seri Pulai, di sini, semakin menyerlahkan bakatnya selepas melalui perjalanan panjang dalam sukan itu sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Sepanjang penglibatannya, Zufar Afkar telah menyertai beberapa kejohanan yang turut mengangkat namanya termasuk Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), sirkit remaja dan Kejohanan Gimnastik Artistik Pembangunan Bakat Kebangsaan.

Dalam masa sama, pencapaian terbaik diraihnya setakat ini juga adalah dengan mendapat pingat perak dalam Kejohanan MSSM pada tahun lalu.

Zufar Afkar berkata, minatnya terhadap gimnastik bermula secara tidak dirancang semasa berusia lapan tahun di mana ketika itu, dia hanya mengikuti aktiviti di sekolah sebelum seorang guru menarik perhatiannya untuk mencuba sukan berkenaan.

“Dulu saya bukanlah serius sangat, sekadar datang dan cuba-cuba sahaja. Tetapi lama-kelamaan saya mula minat dalam sukan gimnastik ini,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Dewan Gimnastik Artistik Sekolah Kebangsaan (SK) Sena, baru-baru ini.

Anak sulung dari tiga beradik itu berkata, semasa peringkat awal pembabitannya dalam sukan berkenaan, dia berdepan sedikit kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan latihan yang agak mencabar.

Zufar Afkar berkata, namun selepas itu, dia semakin mahir dan mula mendalami teknik serta kemahiran sukan itu secara lebih mendalam.

“Awal-awal memang susah, banyak perkara perlu belajar. Tetapi selepas kira-kira dua tahun, saya mula faham teknik dan semakin selesa,” katanya.

Katanya, dia turut meletakkan sasaran dua pingat emas dalam temasya Sukma akan datang masing-masing dalam acara berpasukan dan pommel horse.

Ujarnya, harapan itu tidak mudah apabila bakal berdepan persaingan sengit daripada atlet-atlet negeri lain yang menunjukkan peningkatan prestasi ketara dan memerlukannya untuk bekerja lebih keras.

“Cabaran paling besar adalah untuk ‘catch up’ dengan prestasi atlet lain yang semakin meningkat dan disebabkan itu, saya perlu bekerja keras lagi sehingga hadiahkan pingat buat Perlis dalam Sukma nanti,” katanya.

Zufar Afkar berkata, dia juga mempunyai impian untuk menyumbang kembali dalam pembangunan sukan gimnastik di negeri ini pada suatu hari kelak.

“Saya harap dapat capai sasaran baik dalam Sukma dan selepas itu ingin bantu jurulatih di sini untuk melatih atlet muda Perlis dalam sukan gimnastik ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua jurulatih gimnastik artistik Perlis, Mohd Faiz Mohd Ameer berkata, Zufar Afkar merupakan seorang gimnas yang mempunyai potensi besar dan menunjukkan komitmen tinggi sepanjang sesi latihan dengan sentiasa berusaha untuk memperbaiki kelemahan diri.

Katanya, anak muda itu juga dilihat dapat menjadi penyumbang pingat buat negeri ini sekiranya kekal berdisiplin dan komited dalam sesi latihan yang dijadualkan.

“Dia seorang atlet yang rajin dan fokus. Jika terus konsisten, peluang untuk menyumbang pingat kepada negeri sangat cerah,” katanya.

ACARA pommel horse merupakan kategori kegemaran Zulfarafkar Zaharul Amin dan menjadi sandaran pingat buat negeri ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD.

Mohd Faiz berkata, persiapan rapi juga sedang dilakukan bagi memastikan Zufarafkar berada pada tahap terbaik menjelang berlangsungnya temasya Sukma nanti.

Menurutnya, latihan intensif dan pendedahan turut diberikan kepada Zufar Afkar bagi memastikan dia dapat meningkatkan prestasi pada masa hadapan.

“Kita yakin bakat Zufar Afkar boleh digilap dan mampu menghasilkan sesuatu yang dapat menyumbang kembali buat negeri ini pada masa hadapan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN