PETALING JAYA: Gerakan ‘Kembalikan Bolasepak Kepada Rakyat’ cetusan Ultras Malaya bukan bertujuan merampas kuasa atau mengambil alih kepimpinan bola sepak negara, sebaliknya mahu melihat perubahan menyeluruh dari aspek tadbir urus.
Menerusi kenyataan di media sosial, mereka menegaskan perjuangan tersebut berteraskan satu prinsip utama iaitu ketelusan dan tanggungjawab dalam tadbir urus, bukan perebutan jawatan atau pengaruh dalam ekosistem bola sepak tempatan.
“Ia bukan tuntutan untuk merebut jawatan. Ia bukan gerakan untuk menggantikan satu kelompok dengan kelompok yang lain. Kami bukan datang untuk ambil kerusi kalian, yang kami tuntut bukan kerusi, yang kami tuntut ialah akauntabiliti.
“Bola sepak Malaysia bukan milik mutlak mana-mana individu, institusi, kelompok politik, pemilik kelab, pegawai atau orang berkepentingan. Kalian yang menguruskan bola sepak ini ialah rakyat, bezanya kalian memegang amanah dan kuasa,” kata Ultras Malaya.
Menurut Ultras Malaya, setiap kuasa yang dipegang dalam landskap bola sepak negara perlu disertai dengan tanggungjawab yang jelas serta boleh dipersoalkan, tanpa mengira latar belakang atau kedudukan individu terlibat.
“Maka apabila kuasa itu digunakan, ia mesti datang bersama tanggungjawab. Siapa pun kalian, ahli politik, menteri, penjawat awam, kerabat, tauke, pemain, pegawai atau penyokong, kalian tetap berada dalam ruang yang sama.
“Jangan jadikan bola sepak sebagai alat kepentingan peribadi. Jangan jadikan institusi bola sepak sebagai ruang untuk melindungi kesilapan atau menjaga pengaruh,” ujarnya.
Kumpulan penyokong itu turut membangkitkan pelbagai isu berlarutan yang didakwa masih gagal diselesaikan secara menyeluruh, termasuk masalah gaji tertunggak, ketidakstabilan kelab, perubahan jadual pertandingan serta proses pelesenan yang dipersoalkan.
Lebih membimbangkan, isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain sebelum ini disifatkan sebagai krisis besar yang mencalarkan imej bola sepak negara dan tidak boleh lagi dianggap sebagai kes terpencil.
“Itu sebabnya gerakan ini wujud. Bukan untuk merampas kuasa, tetapi untuk memaksa pembetulan. Kalau mahu bola sepak Malaysia bergerak ke depan, pembetulan mesti bermula dengan keberanian untuk mengakui masalah.
“Tidak boleh lagi semua benda disorok bawah karpet. Tidak boleh lagi ‘rakyat bola sepak’ hanya diminta percaya tanpa penjelasan,” tegas kenyataan itu.
Sebagai langkah awal, Ultras Malaya mencadangkan beberapa pembaharuan termasuk penilaian semula status kerakyatan pemain yang diperoleh secara tidak sah serta memperkemaskan struktur pengurusan skuad kebangsaan di bawah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
Mereka turut menggesa reformasi menyeluruh dilaksanakan merangkumi aspek tadbir urus, pengurusan liga, pembangunan akar umbi dan hubungan antara institusi serta penyokong.
“Bola sepak mesti diurus dengan amanah. Kuasa mesti datang dengan tanggungjawab. Institusi mesti boleh disemak dan penyokong mesti dihormati sebagai sebahagian daripada ekosistem.
“Ini bukan tentang siapa memegang kuasa, tetapi bagaimana bola sepak negara diuruskan untuk masa depan yang lebih baik,” jelas Ultras Malaya.-UTUSAN










