PETALING JAYA: Beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani tidak melihat kekalahan mereka di separuh akhir Terbuka Thailand sebagai keputusan yang buruk, tetapi, sebaliknya gembira dengan prestasi yang semakin pulih.
Semalam, gandingan No. 9 dunia itu tewas kepada pasangan No. 4 dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India 21-19, 20-22, 16-21 dalam masa 1 jam 22 minit di Stadium Nimibutr, Bangkok.
Izzuddin berkata, dia dan Sze Fei semakin mempamerkan peningkatan prestasi dan berharap kualiti permainan mereka dapat terus ditingkatkan.
“Ya, kami sedang kembali ke tahap prestasi terbaik kami. Jadi kami akan ambil pengalaman
hari ini (semalam) dan terus meningkat.
“Lawan kami juga telah bermain lebih baik berbanding kami dan kami cuma kurang bernasib baik sahaja,” katanya ketika ditemu bual oleh wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan, semalam.
Mengulas mengenai pertembungan dengan pilihan pertama itu, Izzuddin berkata, mereka telah memberikan segala-galanya dalam permainan tersebut, tetapi Rankireddy-Shetty tahu bagaimana untuk bangkit selepas ketinggalan.
Jelasnya lagi, Rankireddy-Shetty juga berjaya mengekalkan secara konsisten permainan yang pantas serta terus menyerang dan tekanan demi tekanan yang hadir menjadi punca kegagalan mereka.
Sze Fei turut senada dengan Izzuddin apabila berpendapat, rentak permainan lawan yang laju di samping serangan yang sangat kuat, telah menyebabkan mereka tidak mampu mengekang asakan Rankireddy-Shetty.
Minggu depan, Sze Fei-Izzuddin akan meneruskan perjuangan mereka di Malaysia Masters dan bakal membuka aksi menentang beregu pecah ganding Indonesia, Muh Putra Erwiansyah-Bagas Maulana di pusingan pertama.
Momentum positif yang ditunjukkan bekas gandingan No. 1 dunia itu diharap dapat terus dipertingkatkan menjelang Malaysia Masters dan sekali gus, mengembalikan semula keyakinan yang sejak kebelakangan ini kian menghilang.-UTUSAN










