Sudah ada wang, jadi terlalu selesa

Sudah ada wang, jadi terlalu selesa – Nova

Aksi Chen Tang Jie-Toh Ee Wei ketika tewas kepada gandingan China, Gao Jia Xuan-Wei Ya Xin, 18-21, 16-21 di suku akhir Kejohanan Badminton Masters Malaysia di Unifi Arena, kelmarin. Gambar; MUHAMAD IQBAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto melontarkan teguran keras apabila menyifatkan beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sudah terlalu selesa selepas menikmati kemewahan hasil status mereka sebagai pemain elit dunia.

Kekecewaan Nova memuncak selepas pasangan No.4 dunia itu tersingkir di suku akhir Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 apabila tewas straight set 18-21, 16-21 kepada gandingan baharu China, Gao Jia Xuan-Wei Ya Xin di Unifi Arena, Bukit Jalil kelmarin.

Pengendali dari Indonesia itu menyifatkan aksi dipamerkan anak buahnya langsung tidak mencerminkan kualiti sebenar sebuah pasangan bertaraf juara dunia.

Nova turut memberi bayangan bahawa faktor kemewahan dan zon selesa mungkin menjadi antara punca prestasi pasangan utama negara itu semakin merosot ketika beraksi di laman sendiri.

“Kadang-kadang rasa selesa itu bukan sebab tiada lawan latihan atau tiada persaingan tetapi sebab mereka fikir mereka sudah berada di zon selamat.

“Tapi saya rasa selesa, kalau kita cakap selesa saya rasa selesa dalam hal itu yang mereka harus boleh fikir mereka sudah punya wang, selesa di situ saja,” kata Nova.

Nova turut mengakui dia terkejut melihat persembahan Tang Jie yang disifatkan seperti ‘hilang jiwa’ sepanjang perlawanan tersebut.

“Ini kali pertama saya tengok terutama Tang Jie bermain macam kosong dan tiada idea langsung di dalam gelanggang.

“China bukan bermain terlalu bagus pun tetapi kami yang seperti tiada jiwa dan tiada arah sepanjang perlawanan,” ujarnya.

Tambah Nova, tempoh rehat lebih sebulan selepas Kejohanan Badminton Asia (BAC) sepatutnya memberi kelebihan buat Tang Jie-Ee Wei untuk tampil lebih bersedia di laman sendiri.

Sebaliknya, beliau melihat pasangan negara itu gagal mengawal tekanan sebagai pemain utama negara meskipun beraksi di hadapan penyokong sendiri.

Nova bagaimanapun menegaskan dia tidak mahu terlalu menghukum pemainnya tetapi berharap Tang Jie-Ee Wei segera sedar sebelum situasi sama terus berulang pada Terbuka Singapura yang bermula Selasa ini dan Indonesia pada minggu berikutnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN