PETALING JAYA: Selangor FC perlu memburu gol awal dalam aksi timbal balik final Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2026 menentang Buriram United di Stadium Chang Arena, Thailand esok.
Pengulas bola sepak tempatan, Azlan Johar yang percaya misi skuad Gergasi Merah belum mustahil meskipun tewas 0-1 pada aksi pertama di laman sendiri.
Katanya, barisan pertahanan Gergasi Merah perlu memberi perhatian kepada penyerang Buriram, Suphanat Mueanta yang jelas memberi masalah kepada barisan pertahanan skuad kendalian Kim Pan Gon pada aksi pertama.
“Selangor perlu kekal dengan corak permainan biasa. Jangan terlalu fokus kepada individu tertentu, tetapi pertahanan perlu lebih pantas dan disiplin kerana Buriram akan tampil lebih kuat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bekas pemain Selangor itu berkata, persembahan Selangor terutama pada separuh masa kedua dalam aksi final pertama membuktikan Buriram turut berasa tertekan dan menghormati kemampuan wakil Malaysia itu.
“Walaupun Buriram bermain tanpa dua tonggak utama yang digantung, saya tengok Selangor sebenarnya bermain baik terutama pada separuh masa kedua.
“Buriram pun nampak agak gentar. Mereka dah mendahului 1-0 tetapi tiba-tiba banyak bertahan selepas itu.
“Dari situ kita boleh nampak mereka juga memberi penghormatan tinggi kepada Selangor,” katanya.
Mengulas cabaran beraksi di hadapan penyokong fanatik Buriram, Azlan percaya pemain Selangor sudah cukup matang untuk mengendalikan tekanan.
“Saya rasa pemain Selangor sudah biasa dengan tekanan. Malah suasana di sana mungkin menambahkan lagi semangat mereka.
“Kalau Selangor bermain cemerlang, tidak mustahil sokongan penonton juga boleh berubah arah kerana penyokong datang untuk menikmati permainan yang baik,” ujarnya. – UTUSAN










