CAIRO: Bintang sensasi Liverpool, Mohamed Salah dijangka menggalas misi paling besar dalam karier antarabangsanya apabila mengetuai Mesir memburu kemenangan pertama negara itu di pentas Piala Dunia 2026 yang mungkin menjadi penampilan terakhirnya.
Walaupun Mesir muncul kuasa besar bola sepak Afrika dengan tujuh gelaran Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), skuad The Pharaohs masih gagal meninggalkan impak besar di pentas Piala Dunia sejak pertama kali layak.
Salah pernah hadir ke Piala Dunia 2018 dalam keadaan tidak cergas selepas mengalami kecederaan bahu serius ketika final Liga Juara-juara bersama Liverpool namun tetap gagal mengelakkan Mesir tersingkir di peringkat kumpulan.
Kini pada usia 33 tahun, bintang yang digelar ‘Raja Mesir’ itu hadir dengan beban harapan lebih besar selepas menamatkan era gemilang sembilan tahunnya bersama Liverpool minggu lalu.
Rakan sepasukannya, Mahmoud Hassan percaya kehadiran Salah menjadi suntikan paling penting buat Mesir menjelang saingan di Amerika Syarikat (AS) nanti.
“Bagi saya, Salah adalah pemain terbaik dunia dan kehadirannya sangat penting buat kami bukan sahaja sebagai bintang tetapi juga pemimpin pasukan.
“Dia sentiasa memberi keyakinan dan kekuatan kepada seluruh pemain di dalam pasukan,” katanya.
Mesir bagaimanapun memiliki keyakinan tinggi untuk mara jauh berdasarkan undian kumpulan yang dianggap lebih terbuka apabila bakal berdepan Belgium, New Zealand dan Iran dalam saingan Kumpulan G. – AGENSI/UTUSAN










