KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia berpeluang menonton aksi Piala Dunia 2026 apabila kesemua 104 perlawanan disiarkan sepenuhnya menerusi RTM dan Unifi TV.
Perkara itu diumumkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang memaklumkan siaran berkenaan direalisasikan menerusi kerjasama strategik bersama tiga syarikat telekomunikasi utama negara iaitu Telekom Malaysia (Unifi), CelcomDigi dan U Mobile.
Katanya, langkah itu bukan sahaja membuka akses lebih luas kepada rakyat untuk menikmati aksi pentas bola sepak terbesar dunia, malah membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh penyiaran awam negara.
“Kesemua 104 perlawanan akan ditayangkan menerusi RTM dan Unifi TV. Ini usaha memastikan rakyat dapat menikmati kejohanan bertaraf dunia tanpa perlu menanggung kos tambahan,” katanya..
Tambah Fahmi, inisiatif tersebut selari dengan aspirasi kerajaan Madani yang mahu menjadikan sukan sebagai medium penyatuan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang.
Sementara itu, Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail menyifatkan projek penyiaran kali ini sebagai antara pengurusan kos paling efisien pernah dilakukan kerajaan bagi mendapatkan hak siaran Piala Dunia 2026.
Katanya, kerjasama pelbagai pihak termasuk penaja berjaya mengurangkan beban kewangan kerajaan tanpa menjejaskan akses penonton terhadap siaran kejohanan itu.
“Ini hasil kerjasama strategik pelbagai pihak bagi pihak sebagai besar ini adalah panaja dan RTM dan kerajaan, kita perbelanjaan paling minima,” katanya.
Sebelum ini, Fahmi memaklumkan siaran kejohanan berprestij tersebut turut boleh diakses menerusi platform OTT RTM Klik dan Unifi TV selain siaran percuma MyTV.
Amerika Syarikat akan menjadi tuan rumah bersama edisi 2026 bersama Mexico dan Canada, dengan aksi pembukaan dijadual berlangsung di Mexico City pada 11 Jun ini sebelum final berlangsung di New Jersey pada 19 Julai. – UTUSAN










