KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara, Yap Roy King percaya peluang untuk mara ke separuh akhir Malaysia Masters 2026 tetap terbuka meskipun pasangannya, Arif Junaidi baru kembali menjalani latihan selepas dibelenggu kecederaan.
Menurut Roy King, mereka tidak mahu sekadar menjadi pelengkap jadual pada kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 500 itu, sebaliknya mahu menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk melakar kejutan di Unifi Arena, Bukit Jalil dari 19 hingga 24 Mei ini.
Katanya, dia juga bersedia memikul tanggungjawab lebih besar di gelanggang bagi mengurangkan tekanan terhadap Arif yang masih dalam proses mendapatkan semula tahap kecergasan terbaik.
“Memang sasaran saya dan Arif pada kejohanan ini adalah untuk melangkah ke pusingan separuh akhir sekiranya tengok kepada undian. Sebenarnya Arif baru sahaja pulih daripada kecederaan dan ini minggu pertama dia berlatih.
“Arif pun masih pakai pendakap pada lutut kirinya kerana dia ada koyakan kecil pada meniskus dan PCL (posterior cruciate ligament). Jadi, ia mengambil sedikit masa untuk pulih,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.
Pada aksi pembukaan nanti, Arif-Roy King dijadual menentang pasangan Taiwan, He Zhi Wei-Huang Jui Hsuan sebelum dijangka bertemu rakan senegara, Aaron Tai-Kang Khai Xing pada pusingan kedua.
Dalam pada itu, Roy King turut mendedahkan dia kini lebih serius menjaga fizikal termasuk menurunkan berat badan bagi memastikan pergerakannya lebih pantas dan lincah ketika beraksi di gelanggang.
“Saya rasa berat saya sebelum ini tinggi sangat dan pergerakan di dalam gelanggang agak lambat. Saya mahu menurunkan berat badan dan tengok apa hasilnya nanti kerana sekarang sudah 73 kilogram (kg) berbanding 78kg sebelum ini,” ujarnya.-UTUSAN










